ANDRE memenangi pingat perak pada Sukan Sea Filipina tahun lalu. FOTO AFP
ANDRE memenangi pingat perak pada Sukan Sea Filipina tahun lalu. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


BUKAN sesuatu yang mudah untuk mendapatkan jarak 0.20 meter (m) dan ia memerlukan latihan yang konsisten dan tidak hanya boleh menyandarkan harapan kepada latihan kecergasan semata-mata.

Justeru pemegang rekod lompat jauh kebangsaan, Andre Anura Anuar mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membenarkan barisan atlet olahraga yang memburu kelayakan ke Olimpik berlatih lebih awal.

Ketika ini dimaklumkan bahawa sebilangan atlet yang dibawah Program Road to Tokyo (RTT) akan dibenarkan berlatih lebih awal iaitu bermula Jun ini membabitkan tiga pusat latihan utama iaitu di Bukit Jalil, Bukit Kiara dan juga Langkawi.

Namun Andre yang meraih pingat perak di Sukan Sea Filipina tahun lalu berharap atlet olahraga turut dibenarkan berlatih lebih awal.

"Hingga setakat ini, saya masih belum dimaklumkan berhubung kebenaran berlatih lebih awal. Tapi saya harap atlet olahraga akan diberi pertimbangan untuk kebenaran berlatih lebih awal seperti atlet RTT yang lain.

"Ini kerana untuk mendapatkan jarak 1sm (sentimeter) bukan mudah, ia memerlukan latihan dan teknik yang betul jadi saya harap kami pun dapat turun berlatih lebih awal sebab dah lama sangat tak turun ke lapangan, rasa rindu itu membuak-buak," katanya yang hampir tiga bulan tidak turun kelapangan.

Bagi acara lompat jauh, Andre perlu melepasi jarak 8.22m yang mana ketika ini rekod terbaik peribadinya yang juga rekod kebangsaan adalah 8.02m yang dilakukan ketika di Sukan SEA yang lalu.

Namun ia dilihat bukan satu yang mustahil bagi atlet muda kelahiran Sabah itu jika segala kelemahan dan teknik dapat diperbaiki dalam tempoh 16 bulan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 6:00 PM