AHMAD Faizal ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Dokumen Deklarasi dan Penerimaan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 di Hotel Tenera, Bangi.  FOTO Azhar Ramli
AHMAD Faizal ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Dokumen Deklarasi dan Penerimaan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 di Hotel Tenera, Bangi. FOTO Azhar Ramli
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Bangi: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung isu gangguan seksual yang didedahkan oleh ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.

"Saya ingin memahami senario sebenarnya kenapa tiba-tiba selepas sekian lama Lela (Pandelela) mengeluarkan kenyataan melalui media sosial beliau.

"Saya juga ingin menghubungi mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy (Jamaluddin) kerana beliau juga mempunyai pandangan dan maklumat mengenai perkara ini," katanya.

Justeru, Ahmad Faizal menasihatkan semua atlet tidak berasa takut dan melaporkan kepada pihak berwajib jika mengalami isu gangguan seksual.

"Kita nak gesa semua atlet tak kira apa peringkat sekali pun, jika berlaku percakapan yang tidak sesuai, sentuhan tak sesuai antara mereka dan jurulatih ataupun yang lain, segera laporkan.

"Jangan diamkan perkara ini kerana ini adalah satu kesalahan jenayah yang kita kena sama-sama perangi," kata Ahmad Faizal kepada media selepas merasmikan Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021, hari ini.

Pandelela menerusi akaun Twitter miliknya sebelum ini berkongsi pengalamannya berdepan jurulatih yang sering berlawak lucah terhadap rakan atlet.

Atlet berusia 28 tahun itu berkata, dia terpaksa berdiam diri atau buat-buat ketawa kerana takut terhadap jurulatih itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:02 PM