PENONTON wanita (kiri) yang memegang sepanduk sehingga menyebabkan kemalangan besar TdF tahun ini mungkin terlepas hukuman penjara. FOTO Agensi
PENONTON wanita (kiri) yang memegang sepanduk sehingga menyebabkan kemalangan besar TdF tahun ini mungkin terlepas hukuman penjara. FOTO Agensi
AFP

Brest: Penonton yang menjadi punca salah satu daripada kemalangan besar dalam sejarah Tour de France (TdF) dihadapkan di mahkamah, hari ini dengan berdepan pelbagai dakwaan sehingga menyebabkan ramai pelumba cedera.

Bagaimanapun, tertuduh mungkin terlepas hukuman penjara selepas pendakwa raya meminta hukuman itu ditangguhkan.

Wanita Perancis berusia 31 tahun itu yang identitinya dirahsiakan kerana menjadi sasaran di laman sosial, sudah memberitahu pendakwa raya bahawa dia malu dengan tindakan 'bodohnya'.

Memakai baju sejuk berwarna biru, dia mengelak daripada diserbu wartawan yang menantinya di mahkamah dekat Brest, barat Perancis.

Bagaimanapun hakim yang mengadili kes berkenaan menolak permintaan peguamnya yang meminta perbicaraan diadakan secara tertutup.

Pihak pendakwaan meminta agar dia dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan atas tuduhan membahayakan nyawa dan menyebabkan kecederaan yang tidak disengajakan.

Di bawah undang-undang Perancis, dia boleh berdepan denda hingga €15,000 (RM72,224) dan setahun penjara atas dakwaan berkenaan.

Pendakwa raya Solenn Briand menjelaskan wanita itu menyedari 'betapa bahaya' tindakannya dan menyatakan rasa kesal.

Perbicaraan ditangguhkan untuk menanti penghakiman pada 9 Disember ini.

Wanita berkenaan yang tidak memiliki rekod jenayah, menonton peringkat pertama perlumbaan berkenaan pada 26 Jun lalu dengan harapan sepanduk dipegangnya yang tertulis 'Allez, Opi-Omi' menggunakan bahasa Jerman bermaksud 'Ayuh, datuk-nenek' bagi mengenang asal usulnya dari Jerman dapat dilihat kamera televisyen.

Bagaimanapun, dia melangkah terlalu rapat dengan peloton yang penuh sesak melalui jalan sempit menuju penamat di Landerneau di barat Perancis.

Pelumba Jerman, Tony Martin tidak dapat mengelak dari melanggarnya dan jatuh, memaksa puluhan pelumba lain turut terjatuh, manakala yang lain terpaksa mengelak sebelum merempuh penonton di tepi jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 8:56 AM