Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang remaja perempuan kelahiran Johor Bahru melakar sejarah apabila layak menyertai Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Phuket, Thailand, Disember depan.

Lebih membanggakan, Nurul Syafiqah Amirah Rosli, 18, layak menyertai kejohanan bertaraf dunia itu secara merit apabila aktif menyertai pertandingan Muay Thai peringkat negeri dan kebangsaan sejak tiga tahun lalu.

Nurul Syafiqah berkata, walaupun berdebar, dia teruja untuk bersaing dengan 60 peserta lain dari seluruh dunia bagi merebut pingat emas dan gelaran Juara Dunia Muay Thai Remaja Perempuan.

"Saya akui saingan di kejohanan dunia nanti bukan mudah, namun saya berazam untuk membawa pulang pingat emas dalam pertandingan itu nanti.

"Ini kali pertama saya layak menyertai kejohanan di peringkat dunia dan bakal bersaing dalam kategori 51 hingga 54 kilogram (kg).

"Sudah tentu saya berdebar dan sangat teruja. Saya harap semua doakan saya supaya meraih pingat dalam kejohanan itu.

"Buat masa ini, saya giat menjalani latihan dan membuat persediaan di sebuah pusat mempertahankan diri di Taman Mount Austin," katanya ketika ditemui, di sini.

NURUL Syafiqah (kanan) bergambar bersama idolanya, Jihin Radzuan ketika menjalani latihan di Taman Mount Austin. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NURUL Syafiqah (kanan) bergambar bersama idolanya, Jihin Radzuan ketika menjalani latihan di Taman Mount Austin. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Berkongsi bagaimana minatnya dalam acara Muay Thai bermula, Nurul Syafiqah yang juga anak kedua daripada dua beradik ini berkata, dia mula didedahkan dengan sukan Muay Thai oleh abangnya, Md Shfid Rosli, 30 yang juga jurulatih acara Muay Thai untuk negeri Johor.

Katanya, semangat dan dorongan abangnya itu menjadikannya aktif menyertai pelbagai kejohanan Muay Thai peringkat Kebangsaan dan melayakkan menyertai pasukan Johor bagi bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 nanti.

"Saya menjalani latihan secara konsisten sehingga abang akhirnya mencabar dan membawa saya menyertai pertandingan Muay Thai remaja peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 2019. Semuanya bermula disitu,"katanya.

Bertitik tolak daripada penyertaanya dalam pertandingan itu, dia seterusnya mengorak langkah untuk beraksi di kejohanan Muay Thai yang lebih besar.

Hasilnya, Nurul Syafiqah kini sudah menyertai sebanyak 15 kejohonan Muay Thai di peringkat kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 5:57 PM