AZIZUL (kanan) bersama Ismail Sabri di PPV Mega WTC semalam. Foto Instagram
AZIZUL (kanan) bersama Ismail Sabri di PPV Mega WTC semalam. Foto Instagram
Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang terharu berpeluang untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini semalam.

Pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu diberi kesempatan untuk melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang turut mencipta sejarah merekod suntikan ke 1 juta dos.

"Saya terharu hari ini diberi kesempatan melawat PPV Mega WTC bersama insan yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan pada sekitar tahun 2008 dan 2009 sewaktu saya memulakan langkah pertama ke Sukan Olimpik Beijing 2008.

"Hari ini, PPV Mega WTC juga mencipta sejarah sebagai PPV yang berjaya merekodkan suntikan yang ke 1 juta dos dan pencapaian itu diiringi dengan pelantikan YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob @IsmailSabri60 sebagai Perdana Menteri.

"Terima kasih kerana ruang dan peluang yang diberikan kepada saya untuk bersama Perdana Menteri melawat PPV WTC hari ini. Terima kasih juga atas pemberian cenderahati peribadi Datuk Seri kepada saya, akan saya kenang sampai bila-bila," tulisnya dalam media sosial.

Azizul, 33, meraih dua pingat dalam empat penampilan Sukan Olimpik setakat ini. Dia gagal bertindak cemerlang pada dua temasya pertama di Beijing 2008 dan London 2012 namun meraih pingat pertamanya iaitu gangsa pada Rio 2016 sebelum memperbaikinya dengan perak di Tokyo 2020.

Kini dia memburu pingat emas acara keirin pada temasya Paris 2014 dalam tempoh tiga tahun lagi ketika usianya mencecah 36 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 1:58 PM