BERNAL gembira selepas muncul juara peringkat ke-16 semalam. FOTO EPA
BERNAL gembira selepas muncul juara peringkat ke-16 semalam. FOTO EPA
AFP

Cortina d'Ampezzo: Pelumba Colombia, Egan Bernal seakan mengesahkan sudah kembali pada tahap sebenar dengan memenangi peringkat ke-16 Giro d'Italia di puncak Dolomite.

Dia melintasi garisan penamat berseorangan dan berjaya mengekalkan jersi merah jambu selaku pendahulu keseluruhan serta berada dalam keadaan terbaik untuk merangkul kejuaraan menjelang minggu terakhir perlumbaan.

"Ia adalah kejayaan bermakna, memenangi perlumbaan dengan memakai jersi Maglia Rosa adalah sangat istimewa dan saya mahu membuktikannya.

"Ini juga adalah peringkat yang sukar kerana cuaca namun saya berada pada mentaliti tepat sejak dari awal. Saya sudah bersedia untuk mengharungi kesusahan ini," katanya.

Pelumba Ineos untuk melintasi garisan penamat berseorangan di resort ski Cortina d'Ampezzo untuk menamatkan perlumbaan 27 saat mengatasi pelumba Perancis, Romain Bardet dan wakil Itali, Damiano Caruso.

Juara Tour de France 2019 itu sekarang ini mendahului perlumbaan dengan kelebihan dua minit 24 saat mengatasi Caruso.

Tiada perlumbaan dilangsungkan hari ini sebelum ia bersambung dengan membabitkan empat lagi peringkat pendakian, satu laluan landai dan ujian masa pada hari terakhir di Milan.

"Semalam memang saya mahu melakukan sesuatu yang istimewa, untuk menunjukkan bahawa saya sudah bangkit dan begitu juga dengan pasukan," kata Bernal yang menyarung jersi merah jambu sejak memenangi peringkat kesembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 2:49 PM