AZIZUL dapat perhatian media antarabangsa. FOTO Azizulhasni Awang
AZIZUL dapat perhatian media antarabangsa. FOTO Azizulhasni Awang
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang menganggap tumpuan media antarabangsa terhadapnya sebagai satu perkara positif dan meningkatkan motivasinya untuk menyinar di Sukan Olimpik Tokyo.

Azizul juga menganggapnya sebagai satu penghargaan apabila diletakkan antara 10 atlet yang harus diberi perhatian menjelang temasya sukan terbesar dunia itu oleh media terkemuka Australia, The Sydney Morning Herald.

"Setiap kali diberikan tugasan dan harapan, ia terpulang kepada individu berkenaan sama ada hendak melihatnya daripada skop positif atau negatif. Saya melihatnya dari sudut positif dan ia memberi motivasi kepada saya.

CATATAN The Sydney Morning Herald mengenai kemampuan Azizul.
CATATAN The Sydney Morning Herald mengenai kemampuan Azizul.

"Sudah pasti akan ada sedikit tekanan. Tipulah jika tak ada tekanan kerana anda akan beraksi di temasya sukan terbesar sekali setiap empat tahun. Walaupun mungkin ada atlet yang tiada tekanan untuk menang, tetapi tekanan itu tetap ada. Tapi apabila anda menjadi prospek untuk menang, sudah tentu tekanan itu bertambah tinggi," katanya.

Jelas Azizul, pengalaman beraksi sepanjang tiga edisi Olimpik sebelum ini bermula Beijing 2008 adalah bekalan terbaik untuknya mengharungi cabaran pada edisi Olimpik kali ini.

"Saya ada sedikit pengalaman bagaimana untuk mengawal tekanan dan harapan yang diberikan dengan menggunakan elemen psikologi yang saya belajar sejak 10 tahun lalu. Saya gunakan tekanan untuk menjadi lebih positif terutama ketika sesi latihan," katanya.

Menerusi laporan The Sydney Morning Herald, Azizul yang meraih gangsa di Rio berada sebaris dengan juara dunia olahraga jarak jauh, Joshua Cheptegei dari Uganda dan perenang sensasi Amerika Syarikat, Katie Ledecky serta atlet angkat berat Sepanyol, Lydia Valentin iaitu pemenang pingat emas Olimpik London.

"The 'Pocket Rocketman' mencuri tumpuan di Olimpik Rio selepas meraih gangsa dalam acara keirin.

"Dalam acara yang lebih tertumpu kepada perlumbaan, taktik dan kepantasan, Azizulhasni tidak ada sasaran lain kecuali mengejutkan negara kuasa besar untuk meraih emas di Tokyo," kata The Sydney Morning Herald.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 10:14 PM