ZIYAD berada pada prestasi terbaik ketika ini. FOTO Osman Adnan
ZIYAD berada pada prestasi terbaik ketika ini. FOTO Osman Adnan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Tempoh empat bulan latihan intensif jelas memberi impak besar kepada atlet para lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli apabila melihat dirinya lebih baik untuk mencipta kejutan pada temasya Paralimpik di Tokyo.

Ziyad berkata, pengorbanan yang dilakukan dengan terpaksa 'berkurung' di Majlis Sukan Negara (MSN) sepanjang tempoh empat bulan menjalani latihan mampu meningkatkan lagi prestasinya ke tahap lebih optimum.

Katanya, perkara terbabit terbukti selepas dia secara tidak rasmi berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada pertandingan simulasi baru-baru ini sekali gus memberi bayangan akan membawa pulang kilauan pingat untuk negara.

"Selama empat bulan berada dalam gelembung sukan dengan tidak boleh keluar nampak ada perubahan ketika menjalani latihan.

"Saya lebih yakin dengan prestasi terkini dan sudah bersedia untuk pergi ke Tokyo malah rasa lebih 'power' berbanding di Olimpik Rio.

"Sudah tentu banyak halangan dan rintangan yang perlu dilalui dengan Covid-19 namun ini adalah cabaran saya," katanya, dalam sidang media secara atas talian.

Ziyad adalah pemegang dunia para dengan balingan sejauh 17.29m ketika Kejohanan Para Dunia di London pada 2017, mengatasi rekod 16.84m ketika memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, rekod kebangsaan kekal milik bekas atlet negara, Adi Alifuddin Hussin yang melakukan lontaran 17.54 m pada Sukan SEA Palembang 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 6:57 PM