FADHIL mengakui mencipta kejayaan terbabit bukanlah mudah kerana memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi. FOTO AFP
FADHIL mengakui mencipta kejayaan terbabit bukanlah mudah kerana memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Berjaya mengulangi sejarah pelumba ternama negara bagaikan mimpi jadi kenyataan buat pelumba negara Fadhil Zonis yang memenangi pingat emas dalam acara keirin Kejohanan Piala Negara-Negara di Hong Kong, semalam.

Malah, Fadhli turut berbangga berjaya menggegarkan Velodrome Hong Kong seperti dilakukan pelumba lebih senior dan berpengalaman iaitu Azizulhasni Awang.

Fadhli menerusi catatan dimuatnaik di Instagram miliknya memaklumkan bahawa untuk mencipta kejayaan terbabit bukanlah mudah kerana memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi.

Katanya, kejayaan yang dikecapi itu cukup membuatkannya berpuas hati selepas komited berusaha dan berkorban untuk mencapai tahap membanggakan sekarang ini.

"Rasanya seperti mimpi setelah memenangi pingat emas Piala Negara-Negara di keirin malam tadi.

"Saya tidak pernah menyangka bahawa akan berada di podium dua kali berturut-turut. Ini adalah peluang untuk final keirin dan saya memberikan yang terbaik dan sangat gembira dengan hasilnya.

"Saya percaya pada prosesnya dan memerlukan kesabaran, ketekunan dan ketekunan yang membawa kepada hasil ini. Rasanya seperti mengulangi sejarah yang sama dengan Azizulhasni Awang di mana dia meraih gelaran Juara Dunia di sini di Velodrome Hong Kong tetapi dalam pertandingan yang berbeza. Ini adalah 2 podium saya yang pertama untuk Piala Negara-Negara yang baru dinamakan ini (juga dikenali sebagai Piala Dunia)," katanya.

Dalam acara final keirin semalam, Fadhil, 24, berjaya mengatasi dua pelumba Jepun, Yuta Wakimoto dan Yudai Nitta untuk meraih pingat yang menyaksikan Yuta dan Yudai menghuni tempat kedua dan ketiga.

Kejayaan gemilang Fadhil itu cukup bermakna selepas kelmarin dia turut menaiki podium apabila meraih perak dalam acara 1km ujian masa individu lelaki apabila mencatatkan masa 1 minit 1.772 saat.

Fadhil yang memegang rekod kebangsaan dan rekod Asia dalam acara 1km ujian masa dengan catatan 1:00.305s pada Kejohanan Dunia di Berlin tahun lalu, masih berbaki satu acara esok iaitu pecut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 6:22 PM