ATLET menunaikan solat sunat Aidilfitri di MSN, Bukit Jalil. FOTO MSN
ATLET menunaikan solat sunat Aidilfitri di MSN, Bukit Jalil. FOTO MSN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Atlet negara yang terpaksa mengorbankan sambutan Aidilfitri bersama keluarga kerana menjalani kem latihan secara kuarantin menyambut 1 Syawal secara sederhana hari ini.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atlet yang sedang membuat persiapan untuk Sukan Olimpik di Tokyo Julai ini dan Sukan Sea Hanoi pada November mula menjalani latihan secara kuarantin sejak minggu lepas.

Antara venue yang terlibat ialah di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dan Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi MSN, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilihat meluangkan masa bersama-sama atlet menunaikan solat sunat Aidilfitri dan meraikan sambutan Hari Raya di Cafe Atlet di MSN, Bukit Jalil dengan menikmati juadah seperti lemang, ketupat dan rendang.

ATLET negara menikmati juadah raya. FOTO MSN
ATLET negara menikmati juadah raya. FOTO MSN

"Kepada semua warga sukan negara, marilah kita bersatu, berjuang dalam memerangi pandemik ini demi Malaysia tercinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita," kata Shapawi dalam video ucapan rayanya.

Sementara itu, ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi turut berkongsi ucapan salam lebaran bersama gambar di media sosialnya.

" Kepada semua yang sempat bersama keluarga, syukur dan hargailah masa instimewa ini dan kami bersama anda yang tidak dapat berbuat demikian. Saya harap kita bersama boleh mengharungi masa sukar ini, "katanya yang mengikuti kem latihan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 5:24 PM