NORZA ketika majlis perjanjian bersama syarikat penjagaan kesihatan, BP Healthcare Group.
NORZA ketika majlis perjanjian bersama syarikat penjagaan kesihatan, BP Healthcare Group.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bangga dengan pencapaian ratu terjun negara, Pandelela Rinong di Piala Dunia Terjun Fina di Tokyo, Jepun, semalam.

Menurut Norza , emas diraih dalam acara 10 meter (m) platform individu itu secara tidak langsung meningkatkan motivasi atlet berusia 28 tahun itu terutama menjelang Sukan Olimpik Tokyo Julai depan.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya Pandelela sudah cukup matang untuk menyerap tekanan di temasya terbesar dunia itu.

"Tentunya bagi pihak MOM dan seluruh warga sukan negara berbangga dengan pencapaian Pandelela. Ini membuktikan penerjun kita boleh beraksi di peringkat tertinggi.

"Saya rasa Pandelela sudah cukup matang untuk menyerap tekanan yang ada. Tokyo bukan kali pertama untuknya, dia sudah menyertai beberapa temasya Olimpik sebelum ini selain menyertai banyak kejohanan di peringkat tertinggi.

"Apapun yang boleh diharapkan, kejayaan dan usaha dilakukan Pandelela ini akan berterusan dan memuncak di Tokyo nanti," kata Norza kepada media selepas majlis perjanjian bersama syarikat penjagaan kesihatan, BP Healthcare Group.

Ikatan perjanjian bersama BP Healtcare Group itu ditandatangani selama setahun dengan membabitkan nilai RM5 juta.

"Kami sangat mengalu-alukan kedatangan BP Healthcare Group selaku rakan kami. Mereka sudah mengekori perjalanan kita kebelakangan ini dan kini memutuskan untuk bersama secara rasmi.

"BP Healthcare Group sebuah syarikat yang sedang mendahului dalam bidang penjagaan kesihatan dan saya percaya kedua-dua pihak akan menerima ganjaran daripada hubungan kerjasama ini," kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 8:06 PM