Datuk Lee Chong Wei (kanan) bersama Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada satu majlis baru-baru ini. FOTO File NSTP
Datuk Lee Chong Wei (kanan) bersama Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada satu majlis baru-baru ini. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Timbul desas-desus mengatakan bahawa Datuk Lee Chong Wei tidak akan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 disebabkan faktor kesihatan namun masih lagi memegang jawatan sebagai ketua kontinjen.

Chong Wei yang dilantik sebagai ketua kontinjen ke Sukan Olimpik kali ini dilaporkan tidak akan bersama atlet negara ke Tokyo bagi menghadapi temasya terbesar dunia berkenaan.

Bekas jaguh badminton negara terpaksa membuat keputusan sukar itu selepas mendapat nasihat daripada doktornya disebabkan faktor kesihatan selain kes Covid-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

Sebelum ini pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu disahkan menghidap kanser hidung pada September 2018 tetapi selepas melakukan rawatan di Taiwan, dia disahkan bebas daripada penyakit berkenaan.

Jumaat lalu beliau mengesahkan sudah menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 menerusi gambar yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Walaupun tidak ke Tokyo, Chong Wei dikatakan akan memantau perkembangan dan berkomunikasi bersama atlet secara dalam talian.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata tiada sebarang perbincangan atau keputusan berhubung perkara itu.

"Sekiranya ada perbincangan barulah kita boleh buat keputusan. Jadi, belum ada keputusan apa-apa lagi," katanya.

Berbaki kurang sebulan sebelum sukan Olimpik Tokyo bermula pada 23 Julai depan, atlet negara yang sudah mengesahkan slot kini memasuki fasa terakhir dan paling penting dalam persiapan mereka.

Badminton kekal sebagai skuad terbesar buat kontinjen negara ke Tokyo dengan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita Soniia Cheah; beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sudah melayakkan diri.

Mereka disertai Khairul Anuar Mohamad (memanah), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee (terjun), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan empat atlet pelayaran - Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.

Selain, dua pemain golf profesional, Gavin Green dan Kelly Tan yang disahkan layak, Selasa lalu manakala Welson Sim, Phee Jinq En (renang); Lee Hup Wei dan Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik artistik) turut berpeluang untuk beraksi di temasya Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 9:35 PM