Harrif (tengah) muncul juara Grand Prix Velo Manavgat di Turki. FOTO TSG
Harrif (tengah) muncul juara Grand Prix Velo Manavgat di Turki. FOTO TSG
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menyifatkan kejayaan dua jaguh lumba basikal, Mohd Azizulhasni Awang dan Mohd Harrif Saleh mengharumkan nama negara di persada dunia adalah pencapaian luar biasa ketika dunia masih lagi 'berperang' dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pencapaian dua pelumba kelahiran Terengganu itu juga adalah permulaan yang baik hasil usaha gigih dan pengorbanan mereka serta rakan sepasukannya termasuk pihak pengurusan pasukan masing-masing.

"Ini permulaan yang baik buat dua pelumba itu serta pasukan mereka dalam kalendar kejohanan pada tahun ini.

"Kejayaan ini juga adalah pencapaian luar biasa yang dilakar dua pelumba itu, bagi kerajaan negeri kita begitu berbangga dan gembira kerana mereka berjaya menggegarkan dunia dengan kejayaan yang diraih itu.

"Apa yang kita harapkan kejayaan itu tidak terhenti di situ, sebaliknya perlu berusaha lebih lagi dalam memburu lebih banyak podium pada kejohanan akan datang.

"Buat jaguh trek, Azizulhasni yang digelar 'The Pocket Rocketman' kejayaan itu juga bakal menyuntik lagi motivasinya untuk mencipta kejayaan yang lebih membanggakan buat negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada Julai tahun ini.

"Begitu juga dengan jaguh lebuh raya, Harrif yang bakal menyarung jersi skuad kebangsaan pada temasya Sukan Sea di Vietnam pada November ini selain mengintai peluang ke pentas Olimpik.

"Kerajaan meletakkan harapan yang tinggi kejayaan pelumba itu mampu menjadi sumber inspirasi kepada semua atlet lain kerana setiap kejayaan cemerlang sudah pasti bakal mendapat penghargaan daripada kerajaan negeri sebagaimana Azizulhasni yang dihadiahkan wang tunai sebanyak RM100,000 sebagai insentif kerana berjaya ke Olimpik Tokyo manakala Hariff mendapat sebidang tanah baru-baru ini atas kejayaan terdahulu," katanya.

Sabtu lalu Azizulhasni merangkul gelaran juara dalam Kejohanan Trek Elit Victoria dengan catatan 10.126 saat (s) dalam kelayakan pecut individu dalam saingan yang berlangsung di Velodrome Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne.

Berselang enam jam selepas itu, Harrif yang dilantik sebagai kapten pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pula membuktikan kayuhannya masih belum 'berkarat' walaupun hampir setahun tidak menyertai perlumbaan selepas muncul pelumba pertama ke garisan penamat Grand Prix Velo Manavgat berstatus 1.2 di Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:11 PM