SOFIA Kenin juara Terbuka Australia edisi lalu. FOTO AFP
SOFIA Kenin juara Terbuka Australia edisi lalu. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Barisan bintang tenis dunia akan berdepan hukuman jika mereka melanggar protokol Covid-19 apabila tiba minggu ini untuk aksi Terbuka Australia.

Kalendar Grand Slam pertama itu kebiasaannya berlangsung pada minggu ketiga Januari tetapi persediaan pada tahun ini terganggu dengan isu logistik oleh pihak penganjur.

Tenis Australia pada awalnya mahu setiap pemain tiba di Melbourne pada pertengahan Disember tahun lalu.

Bagaimanapun sekatan masuk ke dalam negara menyaksikan kejohanan itu ditangguhkan bermula 8 Februari dengan beberapa kejohanan WTA dan ATP akan berlangsung di Melbourne seminggu sebelum Terbuka Australia bagi membolehkan pemain mendapat rentak permainan.

Melbourne adalah wilayah kedua terbesar Australia yang terkesan dengan gelombang kedua Covid-19 yang menyaksikan rakyatnya perlu melalui perintah berkurung selama empat bulan.

Untuk itu, setiap pemain perlu melalui protokol yang ketat termasuk kuarantin wajib selama 14 hari sebelum pihak berkuasa memberikan lampu hijau untuk menjalani latihan selama lima jam sehari.

Juara bertahan Terbuka Australia, Sofia Kenin mengakui ia bukanlah situasi yang dimahukan oleh setiap pemain.

"Peraturannya agak ketat tetapi ia untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Pemain bakal dikenakan hukuman termasuk membayar denda dan menambah tempoh kuarantin jika mereka melanggar peraturan ditetapkan.

Pemain nombor lima dunia dari Ukraine, Elina Svitolina pula terpaksa melantik jurulatih mental dalam usahanya dapat menyesuaikan diri dengan situasi tekanan dan ketidakpastian.

"Saya rasa ketika tempoh sukar ini, kekuatan mental amat penting," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 12:28 PM