Qari Malaysia, Azraie Abdul Hak semasa menunjukkan sijil Anugerah selepas berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan Johan Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al-Quran Kuwait Peringkat Antarabangsa Kali Kesembilan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Qari Malaysia, Azraie Abdul Hak semasa menunjukkan sijil Anugerah selepas berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan Johan Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al-Quran Kuwait Peringkat Antarabangsa Kali Kesembilan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Noor Atiqah Sulaiman


PERBEZAAN satu markah membolehkan Qari Malaysia, Azraie Abdul Hak muncul juara Pertandingan Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al- Quran peringkat antarabangsa ke-9 di Kuwait.

Azraie berkata, dalam pertandingan berkenaan, rezeki sangat memihak kepadanya apabila mendapat 96 markah dan peserta dari Iran pula mendapat 95 markah.

Katanya, persaingan sengit diberikan oleh semua peserta dan beliau perlu berhati hati ketika mengalunkan ayat al- Quran itu kerana sedikit kesilapan boleh membuatkan dirinya tersingkir.

“Peserta pertandingan diberikan satu halaman ayat al-Quran dan perlu membacanya dalam tempoh lapan minit. Ini bermaksud, peserta tidak boleh membaca dengan tempo terlampau laju atau perlahan.

“Sekiranya peserta baca kurang atau lebih dari lapan minit, juri akan memotong markah. Selain itu, kami juga tidak boleh salah dalam bacaan kerana ia secara tidak langsung akan disingkirkan,” katanya ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Azraie membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah KUD 5,000 (RM64,857), dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al Ahmad Al Jaber Al Sabah.

Pertandingan yang diadakan pada 10 hingga 18 April itu mendapat penyertaan lebih 120 peserta dari 76 negara.

Azraie berkata, ini bukanlah pertandingan kali pertamanya di luar negara, dan ia menjadi kelebihan kepada dirinya untuk mengambil hati juri.

“Disebabkan sering mengikuti pertandingan, saya tahu apa kehendak juri. Pengalaman mengikuti pertandingan yang lalu membuatkan saya untuk terus memperbaiki mutu persembahan.

“Syukur walaupun ini bukan penyertaan pertama peserta Malaysia di pertandingan ini, tetapi kali ini saya dapat memberi sedikit sumbangan kepada negara. Kali terakhir Malaysia menang dalam pertandingan ini adalah pada tahun 2016 iaitu penyertaan dari rakan saya, Abdul Khair Jalil,” katanya.

Azraie yang berasal dari Melaka itu, sebelum ini dinobatkan sebagai naib juara Qari Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018/1439H yang berlangsung pada awal bulan ini.

Qari Malaysia, Azraie Abdul Hak semasa menunjukkan sijil Anugerah selepas berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan Johan Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al-Quran Kuwait Peringkat Antarabangsa Kali Kesembilan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 11:04 AM