SKUAD negara tewaskan Indonesia 3-2, hari ini. FOTO MHC
SKUAD negara tewaskan Indonesia 3-2, hari ini. FOTO MHC
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara melengkapkan rekod kemenangan bersih dalam lima aksi pusingan round robin apabila mengatasi pencabar terdekat Indonesia 3-2 di Dinosaur Park Hall, hari ini.

Kemenangan itu juga seakan laungan awal anak buah Mohd Hanip Che Halim buat Indonesia dengan kedua-dua pasukan sekali lagi akan berentap di final, esok.

Pada aksi hari ini, Malaysia dipaksa bekerja keras apabila dua kali ketinggalan kepada Indonesia sebelum bangkit mencipta kemenangan.

Indonesia berada di hadapan hasil jaringan padang Candra Prawesti pada minit keenam sebelum Muhammad Firdaus Omar menyempurnakan pukulan sudut penalti, tujuh minit kemudian untuk menyamakan kedudukan buat Malaysia.

Skuad negara sekali lagi ketinggalan apabila Muhammad Firdaus menyumbang gol kedua Indonesia pada minit ke-30 yang memaksa anak buah Mohd Hanip berusaha untuk bangkit.

Usaha barisan pemain negara membuahkan hasil apabila Abdul Khaliq Hamirin menyamakan kedudukan pada minit ke-35 dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan muncul wira negara apabila menyumbang gol kemenangan, dua minit kemudian.

Mohd Hanip menjelaskan barisan pemainnya menunjukkan permainan yang sabar dan tidak terburu-buru walaupun dua kali ketinggalan kepada Indonesia.

Katanya, perkara paling penting adalah pemain tidak mengalami sebarang kecederaan bagi menghadapi aksi getir bagi penentuan pingat emas, esok.

"Apa yang saya harapkan prestasi pemain serta momentem setiap perlawanan yang sudah dipamerkan dapat memberi impak positif dan menaikkan semangat pemain pada final esok.

"Setiap pemain berada dalam keadaan yang sihat serta emosi dalam keadaan yang stabil. Selain itu dari segi perancangan taktikal, saya berharap pemain lebih fokus dan agresif supaya setiap yang yang dirancang dapat diterjemahkan dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 6:12 PM