HANIS antara tonggak utama skuad hoki wanita negara.
HANIS antara tonggak utama skuad hoki wanita negara.
Zulkarnain Azman


Putrajaya: "Saya Hanis Nadiah Onn pemain hoki negara dengan penuh rasa rendah diri dan tanggungjawab memohon maaf di atas satu hantaran komen yang dimuat naik secara sedar oleh saya pada 28 Januari lepas," kata Hanis Nadiah Onn yang menyesal melakukan hantaran berbaur perkauman di media sosial berhubung konsert AR Rahman di Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Katanya, sepanjang pembabitan selama 10 tahun dalam sukan hoki, persekitarannya dipenuhi dengan rakan-rakan berbilang kaum yang sentiasa berjuang untuk negara Malaysia.

"Dengan ini saya berasa menyesal di atas kecuaian saya dan dengan penuh rasa kesedaran sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan kepada yang terkesan," kata pemain berusia 26 tahun itu yang membantu Malaysia merangkul pingat emas dalam Sukan Sea 2015 dan 2017.

Sebelum ini tular di media sosial berkenaan satu akaun Instagram yang dipercayai dimiliki pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn didakwa melontarkan komen berbaur perkauman pada ruangan hantaran berkaitan konsert itu.

Menyedari komen itu disalah tafsir berkenaan isu perkauman, pemain itu telah memuat naik permohonan maaf di laman Instagram Story.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyiasat komen berbaur perkauman yang dimuat naik pemain itu berhubung konsert AR Rahman di Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan perkara itu selain sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk tindakan selanjutnya.

"Respon kami (KBS), saya sudah meminta MSN untuk siasat perkara ini dan dapatkan makumat lanjut daripada MHC. Selepas mendapat pandangan daripada MSN, kita kan buat keputusan.

"MSN akan membuat perbincangan hari ini (semalam) dengan MHC. Saya juga sudah maklumkan kepada Datuk Seri Subahan Kamal (Presiden MHC)," kata Hannah pada sidang media selepas sesi townhall bersama industri sukan di Menara KBS, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 4:50 PM