PENGENDALI pasukan hoki Maybank, Azrul Effendy harap anak buahnya bangkit dalam baki perlawanan liga. -FOTO Malik Muhamad
PENGENDALI pasukan hoki Maybank, Azrul Effendy harap anak buahnya bangkit dalam baki perlawanan liga. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun peluang kian tipis untuk memburu kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini, pasukan hoki Maybank belum mahu mengibarkan 'bendera putih' bagi perebutan trofi itu.

Ketua jurulatihnya, Azrul Effendy Bistamam ketika ditemui selepas tamat perlawanan menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) petang semalam berkata, peluang buat pasukannya untuk mencabar kejuaraan liga belum tertutup rapat.

"Bagaimanapun dengan syarat anak buah saya tidak boleh lagi keciciran mata maksimum dalam baki lima perlawanan lagi selain mengharapkan dua pasukan di tangga teratas iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan THT kehilangan mata.

"Sebab itu saya tidak mahu mengibarkan lagi bendera putih, sebaliknya tetap berusaha hingga berakhir perlawanan liga kerana apa-apapun boleh berlaku," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan 5-4 kepada THT petang semalam di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), beliau akui begitu kecewa walaupun pasukannya tiga kali mendahului lawan.

"Kesilapan individu dengan membenarkan THT bangkit antara faktor kami gagal mengutip sebarang mata walaupun tiga kali mendahului lawan.

"Layangan kad kuning kepada Nur Asyraf Ishak pada minit ke-41 dan Nazmi Farizal Jazlan sepuluh minit kemudian memaksa kami beraksi dengan sembilan pemain ketika mendahului 3-1.

"Malah penjaga gol kami juga diarahkan keluar padang, bagaimanapun saya tetap memuji pemain yang tidak berputus asa hingga minit terakhir perlawanan walaupun kekurangan pemain," katanya yang mengharapkan kemenangan ke atas TNB Thunderbolts pada aksi kelapan selepas ini.

Berdasarkan kedudukan terkini, Maybank berada di tangga ketiga liga dengan mengutip 13 mata hasil tujuh perlawanan, tempat kedua THT dengan 20 mata hasil lapan perlawanan di belakang pendahulu, TNB dengan kelebihan satu mata selepas lapan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 2:37 PM