PASUKAN LYK X USM turut membawa pulang RM15,000.
PASUKAN LYK X USM turut membawa pulang RM15,000.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Mobile Legends Bang Bang (MLBB) terus memberi 'rezeki' kepada peminat permainan e-sukan terbabit apabila berjaya menjana 'keuntungan' dengan memenangi sesuatu pertandingan.

Menerusi Kejuaraan Moonton Student Leader (MSL) 2023 yang berlangsung di Sunway Velocity Mall, minggu lalu, pelajar daripada Universiti Sains Malaysia yang diwakili LYK X USM membawa pulang wang tunai RM15,000 dan telefon pintar Infinix Note 30 Pro.

Ini susulan kejayaan mereka mengungguli Grand Final dengan menewaskan wakil Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diwakili UPM X PriaIdaman yang terpaksa akur dengan RM10,000.

Pasukan di tempat ketiga, Team Kayai dari Management and Science University (MSU) tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih memenangi RM5,000.

Sebagai rekod, kejuaraan julung kali diadakan itu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Infinix Malaysia sebagai penaja rasmi, Susano.my sebagai pakaian rasmi, Sunway Velocity Mall sebagai lokasi rasmi dan rakan strategik, Gamesmy Esports yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000.

Menariknya, hanya pelajar dari institut pengajian tinggi (IPT) yang memiliki kad pelajar layak untuk menyertai pertandingan terbabit.

Sementara itu, Pengarah Projek merangkap Pengurus Pemasaran Moonton Malaysia, Arif Shahir Mohd Asri menjelaskan sambutan hangat diterima daripada pelajar IPT di seluruh negara sehingga pihaknya terpaksa menolak banyak penyertaan.

"Kita mendapat sehingga lebih 200 penyertaan tetapi kami hanya dapat menerima 128 pasukan daripada lebih 100 IPT seluruh negara. Dalam masa tiga hari sahaja, slot penyertaan sudah penuh.

"Dengan kejayaan dan sambutan diterima bagi edisi pertama ini, kami berhasrat untuk terus melanjutkannya bagi musim kedua pada tahun depan.

"Kami juga berharap pihak universiti dapat sentiasa menyokong program seperti ini bagi menyemarakkan lagi perkembangan e-sukan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 4:01 PM