ANTARA pengunjung yang hadir sempena  KEK 2019 zon selatan. FOTO Nazri Abu Bakar
ANTARA pengunjung yang hadir sempena KEK 2019 zon selatan. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


PASUKAN ‘UTeM Knights’ dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) berada dalam kelas tersendiri apabila menjuarai kategori Mobile Legends Bang Bang sempena Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) 2019 Zon Selatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Alor Gajah.

UTeM Knights turut unggul dalam acara ‘Pro Evolution Soccer’ serta menduduki tempat ketiga dalam ‘acara Dota 2’ pada saingan yang berlangsung selama tiga hari, bermula 15 hingga 17 Mac.

Kejohanan sukan elektronik (e-sukan) kampus Malaysia yang julung kali diadakan itu membabitkan penyertaan peserta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM180,000 pada acara kemuncaknya, bulan depan.

Majlis penutup program anjuran Media Prima Digital menerusi portal permainannya, MyGameOn serta Kitamen disempurnakan Pengurus Jualan Celcom Axiata Berhad, Mohd Erwan Saim dan Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali .

Rafiq berkata, kejohanan menghimpunkan 48 pasukan terbaik yang telah disaring terlebih dahulu menerusi pusingan kelayakan pada bulan Februari lalu.

“Ini adalah salah satu inisiatif untuk memperkasakan e-sukan,... membentuk ekosistem sihat sekali gus membudayakan konsep ‘healthy gaming’ dalam kalangan penuntut IPT di seluruh negara,” katanya.

Pada program itu, Geng Bus Sekolah (MMU Melaka) muncul juara kategori Dota 2 diikuti tempat kedua Cheeseburger (UTeM); sementara dua wakil dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), The Forces dan Cerberus masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga kategori Mobile Legends Bang Bang.

Tempat kedua dan ketiga kategori Pro Evolution Soccer pula dimenangi FYP Fighters (UNIKL Mitec Pasir Gudang) dan KJMA. ESC (UiTM Jasin).

Kesemua pasukan terbabit layak ke acara kemuncak dengan semua peserta dari IPT tinggi yang bertanding turut berpeluang menerima biasiswa bernilai RM50,000.

KEK kali ini turut menyaksikan gabungan dua pengulas e-sukan popular tanah air, Radzi ‘Ikuto’ Rahman dan Adam ‘Spartanker’ Faiz yang memberikan ulasan mantap menerusi permainan Mobile Legends Bang Band.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 3:25 PM