NAFUZI tuntut anak buah berjuang habis-habisan di gelanggang sendiri dalam usaha mara ke suku akhir Piala Malaysia. FOTO KDA FC
NAFUZI tuntut anak buah berjuang habis-habisan di gelanggang sendiri dalam usaha mara ke suku akhir Piala Malaysia. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu memastikan kelebihan beraksi di laman sendiri tidak disia-siakan apabila melayan Perak FC pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain berkata, meskipun skuad Sang Kenari tewas 1-3 kepada The Bos Gaurus pada aksi pertama 3 Ogos lalu di Stadium Perak, aksi kedua di laman sendiri kali ini adalah peluang buat mereka bangkit, sekali gus layak ke suku akhir.

"Saya berharap kami mampu menang secara agregat apabila bertemu Perak FC di tempat sendiri kali ini demi mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia.

"Saya berharap corak permainan kami nanti berbeza berbanding ketika beraksi di Ipoh dan pemain seharusnya menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri.

"Saya rasa kami ada sedikit kelebihan untuk bangkit berbekalkan sokongan lebih ramai penyokong sendiri," katanya.

Bagaimanapun, Nafuzi sedar, skuadnya berdepan cabaran hebat untuk mengatasi kelebihan dua gol milik Perak, sekali gus menuntut pemain berjuang habis-habisan.

Menurutnya, pada ketika ghairah memburu gol, mereka perlu mengawasi agar Perak tidak menjaringkan gol yang boleh menyukarkan lagi tugas mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 6:44 PM