NELSON berharap dapat kembali ke Malaysia sebagai jurulatih. FOTO Ihsan FB Azraai Khor Abdullah
NELSON berharap dapat kembali ke Malaysia sebagai jurulatih. FOTO Ihsan FB Azraai Khor Abdullah
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Bekas pemain Kedah yang menjadi legenda 'double trebel' musim 2007 dan 2008 Nelson San Martin dikhabarkan kini positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan di negaranya Chile.

Maklumat berkenaan dikongsikan oleh bekas ketua jurulatih Kedah Azraai Khor Abdullah melalui laman Facebook miliknya hari ini yang turut memaparkan maklumat hasil keputusan yang dipercayai diperolehi berkaitan pemain legenda Kedah kelahiran Santiago Chile berusia 40 tahun itu.

"Berita menyedihkan..legenda pemain tengah yang juga jeneral bola sepak Kedah kini dikhabarkan dijangkiti Covid-19 di negaranya Chile.

"Kita mengharapkan semoga beliau segera pulih seperti sedia kala.

"Pakat-pakatlah kita semua penyokong mendoakan semoga beliau segera sembuh dari keadaan yang dihadapinya," katanya.

Disamping itu, Nelson juga ada menghantar mesej melalui laman sosial kepada bekas pemain Kedah Amirul Nizam Mahadzir memaklumkan perkembangan semasanya membabitkan keadaan dirinya yang tidak sihat disamping tidak dapat bekerja akibat keadaan wabak yang melanda di negaranya itu.

"Nelson juga ada memaklumkan yang beliau menaruh harapan tinggi agar dapat kembali ke Malaysia satu hari nanti untuk menyambung tugas selaku jurulatih dalam Liga Malaysia selepas memperoleh sijil kejurulatihan profesional sebelum ini," katanya.

Nelson dilihat aktif memberi semangat serta sokongan moral melalui media sosial untuk skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) setiap kali pasukan itu menempuh perlawanan penting dalam Liga Malaysia.

Selain bergelar pemain legenda Kedah, beliau juga sempat menggalas tugas sebagai ketua jurulatih Langkawi City FC (LCFC) pada musim 2020 sebelum Liga M3 terpaksa dihentikan yang menyebabkan beliau terpaksa pulang ke Chile pada tahun yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 2:21 PM