Pemain Inter Milan Marko Arnautovic (kiri) bersaing untuk mendapatkan bola. - AFP
Pemain Inter Milan Marko Arnautovic (kiri) bersaing untuk mendapatkan bola. - AFP

Milan: Inter Milan semakin gah di puncak saingan liga Serie A apabila mendahulu 10 mata awal pagi tadi selepas merekodkan kemenangan membenam Salernitana 4-0 menjelang pertembungan Liga Juara-Juara dengan Atletico Madrid.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Simone Inzaghi semakin hampir untuk merangkul kejuaraan liga pertama dalam karier kejurulatihannya dengan pasukan Inter ketika ini tanpa belas ihsan tidak memberi sebarang peluang kepada pasukan tangga tercorot Salernitana.

Gandingan serangan Marcus Thuram dan Lautaro Martinez mencetak dua gol dalam tempoh dua minit pada babak pertama untuk mengemudi kemenangan Inter, sebelum Denzel Dumfries menampan masuk gol ketiga lima minit sebelum rehat dan Marko Arnautovic melengkapkan jaringan pada babak berikutnya.

Inter mempamerkan penguasaan mereka yang bermula dengan hampir memenuhi kesebelasan utama impian Inzaghi dan mahu menewaskan musuh setempat AC Milan dengan 20 kejuaraan liga.

"Ia satu perasaan yang hebat kerana pasukan ini bermain di tahap yang benar-benar tinggi... Saya gembira dengannya," kata kapten Inter, Martinez.

Juventus boleh mengurangkan defisit kembali kepada tujuh mata jika mereka menang di kelab bermasalah Verona malam ini.

Namun Inter sudah menang semua lapan perlawanan sejak awal tahun baharu dan kelihatan lebih unggul berbanding pencabar mereka ketika mereka memanaskan badan bagi kunjungan Atleti pada aksi pertama pusingan 16 terakhir awal pagi Rabu ini.

"Ia pastinya satu pasukan berbeza berbanding tahun lalu, kami membuat banyak perubahan tetapi kami perlu cuba terus meningkat dan tidak sabar berdepan perlawanan berikutnya.

"Selasa ini amat penting buat kami... jadi kami perlu mempunyai pendekatan sama, berehat sedikit dan bermain dengan intensiti yang tinggi," kata Martinez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 11:22 AM