LUQMAN Hakim cuba melepasi kawalan pemain Uzbekistan. FOTO FAM
LUQMAN Hakim cuba melepasi kawalan pemain Uzbekistan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara mengikut jejak abang di pentas Piala Asia apabila kecundang 0-2 pada pertemuan pertama kumpulan D menentang Uzbekistan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa, sebentar tadi.

Namun, kali ini pemain muda negara lebih bernasib baik apabila tidak dibelasah Uzbekistan berbanding skuad Harimau Malaya yang tewas 0-4 kepada Jordan pada perlawanan pertama di pentas Piala Asia.

Jelas sekali juara Piala Asia B-23 2018 itu mengajar pemain muda negara apa erti sebenar bola sepak apabila dilihat mengawal hampir 90 minit perlawanan tanpa memberi ruang kepada Malaysia untuk melancarkan serangan berbahaya.

Malah, pemain negara terus bermurah hati dengan menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan yang disempurnakan Jasurbek Jaloliddinov pada minit sembilan.

Sepakan terbabit diberikan pengadil dari Jordan Ahmed Faisal Alali selepas Ruslanbek Jiyanov dikasari Syahir Bashah dalam usaha mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Gol itu jelas sekali 'membunuh' rentak perlawanan skuad muda negara memandangkan lapan minit awal perlawanan mereka bertali arus melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Penyerang yang berpangkalan di Jepun Luqman Hakim Shamsuddin hampir menyumbat gol pertama untuk negara pada minit ketujuh namun sepakannya berjaya dihalang pertahanan lawan sekali gus menyelamatkan gawang Uzbekistan daripada dibolosi.

Sepanjang tempoh 35 minit separuh masa pertama menyaksikan Uzbekistan lebih menguasai perlawanan dengan sering melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Sepakan dari luar kotak penalti oleh Ruslanbek hampir merobek gawang Malaysia namun mujur ketangkasan penjaga gol negara Azim Al Amin berjaya menafikan jaringan terbabit.

Memasuki babak kedua menyaksikan Juan Torres Garrido melakukan sekurang-kurangnya empat pertukaran pemain bagi mengimbangi perlawanan.

Ternyata, keputusan mengeluarkan pemain berpengalaman seperti Luqman Hakim, Syahir dan Mukhairi Ajmal menyaksikan corak permainan negara berubah kepada lebih agresif dan tersusun dalam usaha mencari gol penyamaan.

Disangka panas sampai ke petang namun hujan pula di tengahari apabila gawang negara sekali lagi dirobek pada minit ke-83 oleh Ulugbek Khoshimov untuk kedudukan 2-0.

Walaupun, barisan pemain muda negara berusaha untuk sekurang-kurangnya mencari satu gol namun kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan. Skuad muda negara dijadualkan bertemu naib juara Piala Asia 2018 iaitu Vietnam pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 11:07 PM