PEMAIN JDT menjulang Piala Malaysia yang dimenangi pada musim 2023. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
PEMAIN JDT menjulang Piala Malaysia yang dimenangi pada musim 2023. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Seperti dijangka dan tidak perlu disangkal lagi apabila gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) kemungkinan tidak berdepan masalah untuk terus membawa pulang semua trofi yang dipertandingkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Ini kerana berdasarkan kepada situasi semasa dan persediaan menyaksikan pasukan berpangkalan di selatan tanah air itu bakal terus bergelar juara semua piala dan kejohanan, sekali gus melakar hatrik gelaran 'quadruple'.

Skuad Hector Bidoglio dijangka akan menyapu bersih Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia yang dimenangi mereka pada musim 2022 dan 2023.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim beranggapan belum ada pasukan mampu untuk menyekat nafsu besar skuad Harimau Selatan musim ini.

Beliau yang juga bekas pengurus Selangor berkata, matlamat utama JDT mungkin mahu melangkah lebih jauh dalam kejohanan peringkat Asia, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Katanya, Selangor menjadi pencabar terdekat JDT dalam kancah Liga M, namun menganggap Gergasi Merah belum cukup untuk mengatasi Harimau Selatan.

"Tak boleh nak dipertikaikan lagi, mereka (JDT) akan lebih baik daripada musim lalu. Salah satu faktor, JDT nak pergi lebih jauh lagi dalam kejohanan peringkat Asia, mungkin ke pusingan 16 terbaik atau suku akhir.

"Kalau matlamat mereka sudah dekat Asia, dalam kancah liga tempatan pula macam mana? Jika mereka boleh mengatasi kelab di peringkat Asia, setakat pasukan Liga M lagi senang bagi mereka.

"Kita sudah boleh nampak, pencabar terdekat JDT adalah Selangor. Tetapi pada saya Selangor belum lagi mampu untuk mengatasi JDT. Maknanya ACLE kalau Malaysia tetap dapat satu kuota akan dimonopoli oleh JDT," katanya.

JDT yang memegang status pasukan paling digeruni dalam kancah Liga M ketika ini sudah melakukan persiapan awal apabila membawa masuk beberapa pemain import baharu bernilai tinggi termasuk Jalil Elias, Murilo Henrique dan Francisco Geraldes bagi menghadapi saingan musim 2024/2025.

Berdasarkan nilai pasaran dikeluarkan laman transfermarkt.com, pemain JDT menguasai tiga pemain termahal Liga M ketika ini dengan Elias bernilai RM15 juta, diikuti Geraldes (RM12.8 juta) dan Jordi Amat (RM4 juta).

Skuad Harimau Selatan bakal diperkuatkan dengan seorang pemain naturalisasi dengan Romel Morales dikatakan sebagai calon pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 5:16 PM