CASAGRANDE (kanan) ketika mewakili NSFC pada musim lalu. FOTO ARKIB NSTP
CASAGRANDE (kanan) ketika mewakili NSFC pada musim lalu. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya kemungkinan mempunyai lebih banyak pilihan di bahagian serangan apabila bekas penyerang import skuad Penang FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC), Casagrande bakal bergelar pemain naturalisasi dalam tempoh terdekat.

Situasi terbabit diketahui berdasarkan kepada gambar yang dimuatnaik bersama salah seorang ejen di ruang legar Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), baru-baru ini.

"Terima kasih atas segala-galanya, sahabatku. Saya tidak mempunyai kata-kata untuk meluahkan penghargaan saya atas apa yang sudah anda lakukan kepada saya dan keluarga.

"Saya amat bersyukur kerana berpeluang mempunyai hubungan persahabatan dengan anda dan saya harap ia akan terus berkekalan," katanya.

Mengikut rekod, penyerang berasal dari Brazil berusia 33 tahun itu memulakan karier dalam saingan Liga Malaysia pada musim 2016 bersama Kuala Lumpur City.

Dia kemudiannya kembali ke Brazil selama dua musim dengan beraksi bersama tiga kelab di sana.

Pada musim 2018, Casagrande kembali ke Malaysia dengan menyertai Felcra FC sebelum berhijrah menyertai Melaka United, Penang dan skuad terakhir bersama NSFC.

Ketika ini, skuad kendalian Kim Pan-gon mempunyai dua pemain naturalisasi kelahiran Brazil iaitu Paulo Josue dan Guilherme De Paula.

Sekiranya proses naturalisasi Casagrande berjalan lancar, beliau harus bersaing dengan beberapa penyerang yang beraksi bersama skuad kebangsaan seperti Darren Lok, Romel Morales dan Josue.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 4:20 PM