KAHARUDDIN terpaksa mengumumkan persaraan ketika masih boleh beraksi. FOTO Ihsan NSFC
KAHARUDDIN terpaksa mengumumkan persaraan ketika masih boleh beraksi. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) kehilangan khidmat seorang pemain berpengalaman apabila penjaga gol, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman mengumumkan persaraannya, semalam.

Kaharuddin atau mesra dipanggil Kahar memilih untuk menggantung but pada usia 32 tahun selepas bersama skuad Hobin Jang Hobin selama 15 tahun.

Sepanjang tempoh bersama Negeri Sembilan itu, dia telah menggondol lima piala membabitkan dua Piala Malaysia, satu Piala FA, satu Liga Perdana dan satu Piala Sumbangsih di bawah bimbingan ketua jurulatih yang berbeza.

Bagi Kahar, memenangi piala bersama pasukan Negeri Sembilan adalah suatu pencapaian terbaik dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional dan pasti sukar dilupakan sepanjang hayatnya.

"Walaupun terpaksa mengumumkan persaraan ketika masih boleh beraksi, namun saya puas hati dengan sumbangan sebagai pemain yang telah diberikan kepada Negeri Sembilan dalam tempoh 15 tahun.

"Jika berpeluang, ingin menjadi jurulatih penjaga gol bagi pasukan Negeri Sembilan suatu hari nanti supaya dapat mencurahkan kembali segala ilmu dan pengalaman yang saya miliki kepada generasi baharu bola sepak negeri ini," katanya di sini, hari ini.

Sepanjang pembabitannya dalam arena bola sepak, anak jati Kuala Pilah ini tidak pernah bertukar pasukan sebaliknya kekal kesetiaannya bersama Negeri Sembilan.

Kahar mendoakan kejayaan pasukan kesayangannya itu dalam mengharungi kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.

"Saya mengharapkan Negeri Sembilan dapat bersaing dengan baik dan hebat dalam Liga M musim ini serta meraih pencapaian terbaik sama ada dalam Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia.

"Pesanan buat pemain muda, bermainlah dengan sepenuh hati. Tanamkan keikhlasan, kejujuran dan jaga nama baik pasukan," katanya.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus turut memberi penghargaan kepada Kahar dengan menyifatkan dia sebagai legenda pasukan yang sebenar."

Kekal setia bersama Negeri Sembilan selama 15 tahun adalah satu penghormatan.

"Hidup dan mati kerjaya bola sepak profesional beliau adalah bersama Negeri Sembilan. Terima kasih atas segala keringat, jasa dan bakti sepanjang 15 tahun yang gemilang," kata Faliq.

Untuk rekod, Kahar mula beraksi bersama Negeri Sembilan pada tahun 2009 di bawah kendalian ketua jurulatih Wan Jamak Wan Hassan, yang mencatat sejarah memenangi Piala Malaysia selepas menunggu hampir 40 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 3:14 PM