SILVA meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
SILVA meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Bernardo Silva menjaringkan dua gol ketika membantu Manchester City menewaskan Newcastle 2-0 untuk mara ke separuh akhir Piala FA , manakala Coventry menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk mengejutkan Wolves 3-2.

Penyandang juara City itu kekal di landasan untuk mengulangi kejayaan treble mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara dan Piala FA musim lalu ketika anak buah Pep Guardiola melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan kepada 22 perlawanan.

Tuah ternyata memihak kepada juara England itu kerana dua kali sepakan Silva membuatkan penjaga gol Martin Dubravka keliru kerana terlebih dahulu terkena kaki pertahanan lawan.

Pemain antarabangsa Portugal itu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 apabila percubaannya terkena Dan Burn.

Gol kedua Silva pula terkena Sven Botman, tetapi Dubravka sepatutnya melakukan aksi yang lebih baik apabila bola melepasi di bawahnya.

Di sisi lain, penjaga gol nombor satu City, Ederson tidak dirindui apabila Stefan Ortega beraksi cemerlang untuk menafikan percubaan Alexander Isak.

Dubravka menebus kesilapannya sebelum ini dengan menyelamatkan percubaan Jeremy Doku di kedua-dua belah separuh masa untuk memastikan tiada tambahan jaringan

Tetapi ia sudah terlambat untuk Newcastle menjulang trofi musim ini dan terus kemarau trofi utama sejak 1969.

City adalah pasukan pertama yang mara ke separuh akhir Piala FA dalam enam musim berturut-turut.

"Saya tahu kami bermain untuk memenangi perlawanan akhir, tetapi untuk memenanginya, anda perlu memenangi pusingan awal," kata Guardiola.

"Untuk berlari dan bermain seperti yang mereka lakukan adalah luar biasa. Tahniah kepada pasukan, tiada siapa yang melakukannya sebelum ini."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 9:58 AM