Trent Alexander-Arnold
Trent Alexander-Arnold
Agensi

Liverpool: Tonggak Liverpool Trent Alexander-Arnold kini hidup dalam ketakutan selepas menjadi mangsa gangguan wanita tidak dikenali.

Bintang Liverpool itu yang masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan lutut sudah mencuba pelbagai cara untuk menangani penghendapnya itu.

Ia termasuk menukar nombor telefon dan memasang kamera litar tertutup serta penggera di rumahnya yang terletak di Cheshire.

Alexander-Arnold juga terpaksa memeriksa peti suratnya selepas dihujani surat serta bahan lucah oleh wanita berkenaan.

Bagaimanapun situasi bertambah buruk sehingga Alexander-Arnold terpaksa mengupah pengawal peribadi dan penyiasat persendirian untuk melindunginya.

Laporan media British mengatakan, wanita berkenaan pernah muncul di rumah pertahanan Liverpool itu, termasuk di pusat latihan, malah mengekori Alexander-Arnold ke restoran kegemarannya.

Bagi menjaga keselamatannya, pemain 26 tahun itu dinasihatkan untuk tidak muat naik aktivitinya di media sosial.

"Ia bagaikan neraka buat Trent. Wanita itu menghantui dirinya dan keluarga, menghantar mesej-mesej lucah, menghubunginya setiap masa dan mengirim surat serta bahan lucah ke kediamannya di Cheshire.

"Ia sangat merisaukan. Trent sedang berusaha untuk tidak membiarkan situasi ini mengganggu persembahannya di atas padang," lapor media British.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 4:04 PM