KUBO (kiri) kekal bersama Sociedad. FOTO AFP
KUBO (kiri) kekal bersama Sociedad. FOTO AFP
AFP

Madrid: Pemain antarabangsa Jepun, Takefusa Kubo menandatangani kontrak baharu dengan Real Sociedad sehingga 2029, menjelang aksi Liga Juara-Juara kelabnya bertemu Paris Saint-Germain (PSG), minggu ini.

Pemain sayap berusia 22 tahun itu adalah tonggak La Real selepas meledak enam gol di saingan liga musim ini dan akan memainkan peranan penting menentang PSG sekiranya ketiadaan penjaring terbanyak, Mikel Oyarzabal.

Real Sociedad bertandang ke Parc des Princes untuk menentang juara Perancis itu Khamis ini dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir.

Kubo menyertai akademi Barcelona ketika zaman remajanya dan menandatangani kontrak dengan Real Madrid pada 2019, tanpa pernah membuat penampilan bersama pasukan utama.

Dia berpindah ke Real Sociedad musim lalu dan membantu pasukan Basque itu layak ke Liga Juara-Juara.

Kubo, yang bermain untuk Jepun pada Piala Dunia 2022 dan Piala Asia tahun ini, sudah menjaringkan 15 gol dalam 71 penampilan untuk Real Sociedad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 9:30 PM