FAZLI (kiri) memilih TFC sebagai destinasinya musim depan. FOTO TFC
FAZLI (kiri) memilih TFC sebagai destinasinya musim depan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bukan satu, tapi tujuh tawaran diterima penyerang berpotensi, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali yang mahu khidmatnya dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Namun bekas penyerang pasukan 'adik' Terengganu FC II (TFC II) musim ini yang mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih skuad The Turtles, Badrul Afzan Razali tetap memilih Terengganu FC (TFC) sebagai destinasinya musim depan.

Penyerang berusia 25 tahun itu yang menjadikan pemain antarabangsa Perancis, Karim Benzema sebagai idolanya menjelaskan dia memilih untuk kekal beraksi di Terengganu selepas melihat kelab TFC itu berjaya melahirkan ramai pemain muda berkualiti.

Selain itu katanya pengurusan kelab yang profesional serta TFC bakal 'terbang' ke pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) juga turut menjadi faktor dia menolak tawaran daripada kelab lain musim depan.

"Sejujurnya tawaran yang diterima untuk membarisi skuad utama, (TFC) musim depan sukar untuk saya menolaknya kerana impian ini sudah tiga tahun dinantikan iaitu ketika menyarung jersi TFC II lagi.

"Selain TFC, saya dapat tawaran daripada enam lagi pasukan termasuk negeri kelahiran, Kelantan United FC (KUFC), Kelantan FC, Penang FC, Kuching City FC (KC FC), PDRM dan Negeri Sembilan, namun semuanya saya tolak dengan baik.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, barisan kejurulatihan yang diketuai Tomislav Steinbruckner kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada saya untuk membarisi skuad TFC, tidak lupa juga buat jurulatih Badrul Afzan yang memberi peluang seluas-luasnya kepada saya dalam kempen Liga Perdana musim ini.

"Ini peluang terbaik untuk saya buktikan kemampuan dalam pentas Liga M dan juga Piala AFC walaupun sedar bakal menjanjikan saingan lebih kompetitif untuk mendapatkan tempat terutama dengan kehadiran pemain import," katanya ketika dihubungi.

Musim ini pemain yang lebih mesra dipanggil 'Pok Li' itu muncul penjaring terbanyak pasukan TFC II selepas meledak lapan gol sekali gus membantu pasukannya menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan keempat.

Berdasarkan rekod, bakat pemain itu dicungkil menerusi Liga Bolasepak Rakyat bersama pasukan Setiu pada 2015/2016 selepas sukar mendapat peluang untuk beraksi di negeri kelahirannya.

Pemain berketinggian 1.74 meter ini pernah membantu skuad Piala Presiden Terengganu muncul juara pada 2018 selain muncul penjaring terbanyak trofi itu pada 2019 dengan meledak 15 gol sebelum menyertai skuad TFC II pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 12:49 PM