BEIRANVAND yakin pasukannya mampu mencabar pasukan handalan dunia. FOTO/AFP
BEIRANVAND yakin pasukannya mampu mencabar pasukan handalan dunia. FOTO/AFP
Agensi

SATANSK: Selepas berjaya menyekat penalti Cristiano Ronaldo, penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand mengakui pasukannya mampu untuk bersaing dengan mana-mana skuad terbaik dunia.

Beiranvand menyelamatkan sepakan penalti yang diambil bintang Real Madrid itu sekali gus membantu pasukannya seri 1-1 ketika menentang Portugal, awal pagi tadi.

Pemain itu berpendapat, skuad Iran kali ini mempunyai masa depan cerah untuk Piala Dunia 2022 di Qatar walaupun mereka sudah tersingkir di Russia.

“Saya menunggu hingga saat akhir untuk menyelamatkan sepakan penalti dan saya rasa kerja keras kami mampu untuk membolehkan kami sekurang-kurangnya layak ke pusingan kedua.

“Bagaimanapun, saya yakin pada masa akan datang tidak ada siapa yang menganggap kami sebagai pasukan yang mampu melakukan kejutan. Kami bermain bermati-matian, kami berhak mendapat keputusan lebih baik dan semua orang sudah menyaksikannya,” kata Beiranvand.

Jaringan Ricardo Quaresma sebelum masa rehat menjadikannya pemain selain Ronaldo yang menjaringkan gol untuk Portugal selepas tiga perlawanan di Russia.

Jika Ronaldo berjaya menyempurnakan penalti pada minit ke-53 itu, ia akan memberi peluang buat Portugal mendahului 2-0 selain mengumpul lima gol secara keseluruhan.

Pada minit ketiga masa kecederaan, Karim Ansarifard berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan selepas pengadil melihat semula rakaman video bantuan pengadil (VAR).

Ketua pasukan dan pemain tengah, Masoud Shojaei turut mengakui walaupun kecewa, masa depan skuad Iran dilihat sangat memberangsangkan.

“Banyak kami belajar di Russia, kami juga banyak belajar dari jurulatih, Carlos Queiroz dan anda dapat lihat pemain muda kami mula menonjol,” kata pemain berusia 34 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:49 PM