PENGENDALI Korea Selatan, Jurgen Klinsmann. FOTO Reuters
PENGENDALI Korea Selatan, Jurgen Klinsmann. FOTO Reuters
Agensi

Doha: Pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann menganggap aksi suku akhir berdepan Australia sebagai perlawanan paling menarik dan mengakui tidak sabar menanti pertembungan itu.

Jelas legenda Jerman itu, beliau tidak memandang remeh kemampuan skuad The Socceroos apabila kedua-dua pasukan turun di Stadium Al Janoub.

Katanya, masing-masing memiliki peluang seimbang untuk memenangi aksi namun beliau yakin anak buahnya kini berada dalam momentum terbaik untuk fokus layak ke peringkat separuh akhir.

"Kami berharap satu lagi perlawanan menarik yang kami nantikan, pasukan Australia yang sangat bagus, kami sangat menghormati.

"Kami menghadapi perlawanan sukar dengan Arab Saudi, tetapi kami kekal positif fokus kepada aksi seterusnya. Ia akan menjadi 50/50 perlawanan, tetapi kami sudah bersedia untuk bertempur

"Kami bertarung 120 minit ketika menentang Arab Saudi dan kami akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini," kata Jurgen dalam sidang media praperlawanan.

Di pusingan kedua sebelum ini, Korea Selatan diheret ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan Arab Saudi dalam aksi yang berlanjutan sehingga 120 minit sebelum mara dengan kemenangan penalti 4-2.

Australia pula tidak berdepan banyak masalah apabila mudah membenam Indonesia di pusingan 16 terbaik menerusi kemenangan 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 11:53 AM