SERANGAN bertali-arus Korea Selatan buat pemain negara sengsara. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SERANGAN bertali-arus Korea Selatan buat pemain negara sengsara. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Firdaus Hashim


Doha: Aksi 'menggila' sepanjang 90 minit permainan khususnya dalam membantu aspek bertahan sememangnya cukup azab dan meletihkan.

Namun segala halangan itu berjaya diatasi dan tonggak naturalisasi negara, Paulo Josue akui cukup lega sebaik perlawanan berakhir dengan keputusan positif.

Dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia itu, skuad Harimau Malaya mengejutkan pasukan gergasi, Korea Selatan dengan mengikat lawan 3-3 yang berlangsung di Stadium Al Janoub, di sini.

"Dua perlawanan pertama, kami tidak dapat menunjukkannya dengan betul dan kemudian malam ini kami menunjukkannya dengan sangat baik.

"Kami mempertahankan kedudukan kami seperti orang gila. Malam ini kita pertahankan kotak 'D' dengan sebaiknya.

"Kami membantu Syihan (Hazmi) untuk tidak melepaskan gol walaupun mereka boleh (menjaringkan gol). Mereka mendapat tiga set piece dan kami berjaya menahan mereka.

"Saya fikir pada penghujung permainan kami berjaya menjaringkan gol pada penghujung permainan dan kami mencari gol untuk menyamakan kedudukan," kata Josue.

Menerusi keputusan itu, Malaysia yang dibimbing Kim Pan-gon berjaya memungut satu mata dan mengelak pulang ke tanah air dengan tangan kosong selepas sebelum itu tumbang di tangan Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1).

"Dua perlawanan pertama bukan permainan kami yang biasa kami lakukan sejak dua tahun lalu. Saya berdoa kami dapat bermain baik dan akhirnya kami raih keputusan positif ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 9:52 AM