PAN-gon ketika sesi sidang media di Wisma FAM. FOTO Owee Ah Chun
PAN-gon ketika sesi sidang media di Wisma FAM. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Ya, dalam karier saya ini pertama kali". Itu jawapan ringkas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang mengakui pertama kali berdepan situasi pemain menolak panggilan pasukan kebangsaan.

Pan-gon, 53, yang cukup berpengalaman di peringkat antarabangsa apabila pernah membimbing skuad kebangsaan Hong Kong dan beberapa kelab di Korea Selatan sejak 20 tahun lalu, bagaimanapun tetap tenang menghadapi situasi itu.

Walaupun baharu pertama kali melalui situasi itu, Pan-gon dilihat cukup profesional apabila langsung tidak menunjukkan tanda kekecewaan apabila sebaliknya getap bersemangat untuk membentuk skuad terbaik menjelang saingan Piala AFF bermula 21 Disember ini.

Katanya, beliau menerima keputusan itu di mana kempen Piala AFF yang berlangsung di luar jendela perlawanan antarabangsa membolehkan kelab atau pemain menolak panggilan skuad kebangsaan.

"Saya bekerja di sini, di Malaysia, jadi saya harus menyesuaikan diri dan menerima apa sahaja perubahan, saya tidak mahu merungut.

"Lagipun perkara sebegini memang boleh berlaku kerana ia termaktub dalam undang-undang Fifa, saya terima segala keputusan dan kepada pemain-pemain yang sertai kami, kami berikan layanan baik kepada mereka dan cuba jadikan pasukan ini satu pasukan yang baik," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, 12 pemain yang juga pemain utama tidak dapat bersama pasukan negara, dan terbaharu dua pemain Kuala Lumpur City FC iaitu Akram Mahinan dan Declan Lambert turut menolak panggilan itu.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura dalam saingan Piala AFF kali ini.

Selain saingan serantau itu, skuad kendalian Pan-gon turut dijadual menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Kemboja dan Maldives, masing-masing pada pada 9 dan 14 Disember ini, di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Mengulas lanjut kehadiran ramai muka baharu, Pan-gon akui ini kesempatan terbaik buatnya menilai kemampuan dan prestasi tonggak lain.

Malah, beliau juga tidak akan menutup pintu buat kelompok pemain yang menolak itu kerana keharmonian dan perpaduan adalah resepi kejayaan.

"Sudah tentu akan ada peluang lagi buat Declan dan Akram selepas ini dan kami akan terus menilai prestasi mereka. Perpaduan salah satu nilai negara Malaysia jadi daripada kita pisahkan pemain-pemain, lebih baik kita bersatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:30 PM