FAISAL ketika sesi latihan. FOTO IHSAN FAM
FAISAL ketika sesi latihan. FOTO IHSAN FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain sayap negara, Faisal Halim sedia 'melepasi' apa jua halangan yang cuba menyekatnya termasuk pendekatan pihak lawan yang mungkin merantai pergerakan 'liciknya' sepanjang saingan Piala Asia di Qatar nanti.

Jelas tonggak lincah itu, setiap pasukan yang bertanding di pentas Asia itu pastinya sudah mengkaji kekuatan dan kelemahan setiap lawan menerusi juruanalisis masing-masing.

Lantas tidak mustahil pergerakan setiap pemain Harimau Malaya sudah dikaji termasuk dirinya.

"Ya sudah tentu di mana-mana sekalipun kita bermain di liga ataupun di peringkat antarabangsa, sudah tentu setiap pasukan akan ada analisis yang tertentu.

"Kita sebagai pemain kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberi prestasi yang terbaik untuk pasukan.

"Kita pun ada analisis pasukan pasukan, jadi masing-masing ada analisis menentukan 90 minit di Qatar," katanya.

Di Qatar nanti, barisan pemain Kim Pan-gon diletakkan dalam E dan skuad negara dijadual membuka tirai berdepan Jordan pada 16 Januari di Stadium Al Janoub.

Selepas itu, Malaysia akan turun menentang Bahrain empat hari kemudian di Stadium Jassim Bin Hamad sebelum menutup saingan kumpulan dengan bertemu Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.

Faisal, 25, yang kini beraksi bersama Selangor FC menganggap saingan Piala Asia sebuah kejohanan yang amat penting buat pasukan negara.

"Saya tidak pernah terfikir dari kecil untuk menjadi pemain bola sepak mewakili Malaysia. Ini semua rezeki dari Allah, saya amat terharu dan bangga," kata anak jati Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 4:24 PM