BIDOGLIO bawa JDT raih tiga kejuaraan pada 2022.
BIDOGLIO bawa JDT raih tiga kejuaraan pada 2022.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan Hector Bidoglio kembali membimbing juara Liga Super 10 musim berturut-turut selaku ketua jurulatih bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Alistair Edwards dalam kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers berkata, Bidoglio akan dibantu Pablo Ricchetti, yang juga penolong jurulatih musim lepas.

"Seorang lagi penolong jurulatih baharu dari Argentina selain beberapa jurulatih termasuk kakitangan kecergasan dan perubatan akan menyertai kelab pada musim hadapan bagi membantu Bidoglio.

"Untuk makluman, Aidil Zafuan (Abd Radzak) akan menyertai barisan kejurulatihan Bidoglio dalam usaha memantapkan lagi barisan kejurulatihan," kata Edwards.

Dengan pengesahan itu terungkai segala spekulasi mengenai pengganti Esteban Solari yang tidak disambung kontrak bersama skuad Harimau Selatan.

Malah desas-desus Aidil Zafuan yang dikaitkan bakal menyertai Negeri Sembilan FC terjawab akhirnya.

Edwards berkata, pengendali kelahiran Rosario, Argentina itu pernah berkhidmat seketika sebagai ketua jurulatih JDT dari Julai-November 2022 sebelum menjadi Pengarah Teknikal JDT.

"Bidoglio berpengalaman membimbing skuad Harimau Selatan menjadi juara dalam Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada musim 2022," kata Edwards.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 4:54 PM