KETUA pasukan KL City, Paulo Josue. -FOTO NSTP
KETUA pasukan KL City, Paulo Josue. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) mahu memulakan kempen Liga Super musim ini dengan langkah kanan apabila dijadual turun menentang Penang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, di sini, malam esok.

Ketua pasukan KL City, Paulo Josue berkata, buruan tiga mata adalah fokus utama pasukan biarpun menyedari tentangan sengit bakal diberikan skuad Harimau Kumbang itu nanti.

"Kalau musim lalu, kami sering dihimpit dengan pelbagai masalah kecederaan yang menghantui pasukan hingga memberi sedikit kesan kepada prestasi pasukan .

"Tetapi musim ini kami ada skuad yang besar dengan beberapa pemain baharu. Saya yakin kami akan tampil lebih baik musim ini bagi memastikan tidak mudah keciciran mata terutama apabila bermain di tempat sendiri.

"Jadi untuk perlawanan pertama ini, kami kena meraih tiga mata dan itu yang sering kami perkatakan di bilik persalinan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Skuad Warga Kota antara pasukan yang konsisten dalam saingan liga tempatan dengan kejayaan terbesar muncul juara Piala Malaysia pada 2021 lalu.

Malah, pada musim lalu KL City hampir melakar sejarah tersendiri untuk menakluk 'Asia' apabila mara ke pentas final Piala AFC sebelum tumbang 0-3 di tangan kelab Oman, Al Seeb.

Sementara itu, pengendali KL City, Bojan Hodak mengigatkan anak buahnya agar tidak memandang mudah lawan.

"Penang FC kali ini diperkuatkan ramai muka baharu termasuk bekas-bekas pemain dari Melaka United yang bagus-bagus.

"Mereka mencatat keputusan yang baik dalam aksi pramusim dan saya jangka ia aksi sukar di Cheras nanti. Saya harap pemain fokus sepanjang aksi dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh merugikan pasukan," kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 2:16 PM