PSIKOLOGI pemain Palestin terjejas susulan kebimbangan nyawa keluarga mereka di Gaza. FOTO Agensi
PSIKOLOGI pemain Palestin terjejas susulan kebimbangan nyawa keluarga mereka di Gaza. FOTO Agensi
Agensi

Amman: Makram Daboub mungkin berdepan masalah dalam mempersiapkan pasukan Palestin menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 tetapi berasa sedikit lega selepas beberapa pemainnya yang berada di Gaza dalam keadaan selamat buat masa ini.

Ketua jurulatih itu mahu menyenaraikan Ibrahim Abuimeir, Khaled Al-Nabris dan Ahmed Al-Kayed dalam kem latihan di Jordan menjelang aksi menentang Lubnan Khamis ini dan Australia pada 21 November.

Namun ketiga-tiganya tidak dapat keluar dari Gaza susulan serangan ganas Israel yang memasuki bulan kedua.

"Setakat ini mereka dalam keadaan baik," kata Daboub. "Ramai saudara mara mereka terkorban akibat pengeboman berterusan tentera pengganas Israel."

Dua pemain dari Gaza yang beraksi di Mesir, Mohamed Saleh dan Mahmoud Wadi dijangka menyertai skuad Palestin di Jordan.

Daboub warga Tunisia mengakui sukar buat pemain fokus kepada bola sepak ketika nyawa keluarga mereka terancam.

"Dengan kematian dan kemusnahan di Gaza, psikologi pemain turut terjejas," kata Daboub.

Namun Susan Shalabi, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Palestin berkata, tiada persoalan bahawa pemain dan rakyat Gaza mahukan perlawanan itu diteruskan.

"Mereka adalah orang yang mahu didengar dan dilihat oleh dunia, mahu hidup normal seperti orang lain, jadi mereka mengambil berat pasukan kebangsaan mereka," kata Shalabi.

Persiapan Palestin untuk menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia terjejas selepas tidak dapat menyertai kejohanan Piala Merdeka di Malaysia bulan lalu dan skuad itu terpaksa berpangkalan di Jordan bagi memastikan mereka dapat menyertai perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 10:05 PM