HARRY Kane meraikan jaringannya selepas membantu Bayern Munich menewaskan Heidenheim dalam saingan Bundesliga. FOTO Agensi
HARRY Kane meraikan jaringannya selepas membantu Bayern Munich menewaskan Heidenheim dalam saingan Bundesliga. FOTO Agensi
Reuters

Munich: Harry Kane terus mempamerkan bisanya dalam saingan Bundesliga apabila meledak dua gol bagi membantu Bayern Munich menumbangkan Heidenheim 4-2.

Kane yang mula menyertai Bayern awal musim ini sudah meledak 21 gol dalam 15 aksi termasuk dalam kempen Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah, di mana dia membuka akaun jaringan pada minit ke-14 hasil ledakan padu dalam kotak penalti.

Ketua pasukan England itu kemudiannya menanduk masuk gol kedua seminit sebelum rehat untuk muncul pemain pertama dalam sejarah Bundesliga mencatatkan 17 gol dalam 11 penampilan di awal musim.

Heidenheim cuba bangkit dengan berjaya menyamakan kedudukan Tim Kleindienst dan Jan-Niklas Beste untuk mengejutkan kem Bayern yang tersentak dengan kebangkitan lawan itu.

Bagaimanapun, gergasi Jerman itu membalas menerusi sentuhan Raphael Guerreiro dan Eric Maxim Choupo-Moting bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik Bayern.

Hasil kejayaan itu, menyaksikan Bayern kini memungut 29 mata daripada 11 aksi dengan merakam sembilan kemenangan, dua seri dan tidak pernah tumbang setakat ini.

Kemenangan itu turut menolak Bayer Leverkusen ke tangga kedua namun pesaing terdekat itu kekurangan satu perlawanan dan dijadual berdepan Union Berlin hari ini.

Kejayaan Kane itu juga memberi motivasi tambahan buatnya menjelang aksi Kelayakan Euro bersama skuad kebangsaan England.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 9:17 AM