PIALA FAM mingkin akan dikendalikan MFL. FOTO/NSTP
PIALA FAM mingkin akan dikendalikan MFL. FOTO/NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan 'menyerahkan' pertandingan Piala FAM diuruskan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada masa akan datang.

Ketika MFL sudahpun mengendalikan empat divisyen liga tempatan ketika ini, cadangan itu dilihat mampu membantu perancangan badan pengendali liga itu dalam memastikan kesinambungan setiap lapisan itu dapat dijalankan dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagaimanapun menegaskan cadangan itu perlu dinilai terlebih dahulu dengan jawatankuasa itu akan membincangkannya pada 22 November ini.

"Mengenai isu ini, kita akan bincangkannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan pandangan yang diperoleh perlu melalui Mesyuarat Exco terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan dibuat.

"Secara dasarnya, kita terbuka kepada perbincangan ini dan saya berpendapat, mungkin ada baiknya kita serahkan Piala FAM kepada MFL kerana jika dilihat, agak janggal apabila divisyen tiga diuruskan FAM sementara Liga Super, Liga Perdana, Liga M4 dan M5 dikendalikan oleh mereka.

"Jika MFL diberikan kuasa penuh mengendalikan semua liga yang ada, FAM boleh memberi fokus kepada pembangunan menerusi saingan Piala Presiden dan Piala Belia serta tumpuan terhadap pasukan kebangsaan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Yusoff turut mengesahkan mereka akan mengadakan perjumpaan dengan wakil MFL bagi membincangkan cadangan berkenaan dengan lebih lanjut.

"Kita akan memanggil wakil MFL duduk semeja dengan FAM untuk mendengar pandangan mereka bagi mencari jalan terbaik berhubung cadangan ini," katanya.

Terdahulu,  MFL dilihat bersedia mengendalikan saingan Piala FAM yang juga saingan divisyen tiga sekiranya diminta oleh badan induk itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan untuk mengambil alih pertandingan itu daripada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang menganjurkannya sejak 1951.

Namun, Kevin menjelaskan sehingga kini pihaknya masih belum mendapat apa-apa pengesahan mengenai cadangan itu selepas jumlah penyertaan pasukan bagi saingan musim 2019 menimbulkan kebimbangan apabila hanya enam pasukan mengesahkan untuk bertanding daripada 14 pasukan musim ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 5:22 PM