TIGA pemain Sabah (jersi merah) mengepung pemain Perak FC, Luciano Guaycochea (dua, kanan) pada perlawanan malam tadi. FOTO BERNAMA
TIGA pemain Sabah (jersi merah) mengepung pemain Perak FC, Luciano Guaycochea (dua, kanan) pada perlawanan malam tadi. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui keadaan padang lembab dan tahap kecergasan pemain menjadi punca pasukannya tewas 0-1 kepada Perak FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Ipoh, malam tadi.

Beliau berkata, situasi terbabit terjadi pada perlawanan pertama di Stadium Likas sebelum ini apabila seri 2-2, sekali gus menyebabkan pemainnya gagal mempamerkan aksi mantap untuk menempah tiket separuh akhir Piala Malaysia.

"Keadaan padang yang agak lembab termasuk tempoh hari ketika bermain di Likas, kemudian selang beberapa hari kami bermain lagi, jadi ini adalah antara beberapa faktor yang menyebabkan pemain kami keletihan.

"Jumaat nanti, kami akan bermain menentang Kelantan di tempat lawan. Jadi saya harus fikirkan banyak perkara terutama aspek kecergasan pemain sebelum bermain dengan pasukan Makassar di Bali nanti," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, menyaksikan Perak FC membuat kejutan apabila menempah slot separuh akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Sabah 1-0 menerusi jaringan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Keputusan itu menyaksikan skuad Bos Gaurus mara dengan agregat 3-2 selepas terikat 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas, 15 September lalu.

Kim Swee berkata, walaupun Sabah FC membariskan skuad utama termasuk menyenaraikan beberapa pemain kebangsaan, itu bukanlah jaminan kepada pasukannya meraih kemenangan menentang Perak FC.

Pada masa sama, beliau mengucapkan syabas buat anak buah Yusri Che Lah kerana menunjukkan semangat melawan tinggi sehingga menembusi peringkat separuh akhir.

"Saya ucapkan tahniah kepada Perak yang bersungguh-sungguh ingin mendapatkan keputusan untuk layak, semoga dapat buat yang terbaik untuk berdepan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) nanti.

"Ini akan memberi suatu impak yang berlainan kepada penyokong Perak untuk terus melangkah lebih jauh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 5:17 PM