KL City akan bertemu TFC, Sabtu ini di Stadium Cheras. FOTO GHAZALI KORI
KL City akan bertemu TFC, Sabtu ini di Stadium Cheras. FOTO GHAZALI KORI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue yakin rakan sepasukannya dapat membantu memperoleh keputusan positif pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC) yang akan berlangsung di Stadium Cheras, Sabtu ini.

Katanya, meskipun tidak dapat bermain akibat memenuhi hukuman pergantungan, dirinya tetap optimis kerana KL City mempunyai pengalaman bermain di peringkat itu sejak tiga tahun terakhir dan yakin mampu untuk menang ke atas TFC.

Ujarnya, prestasi pasukan TFC dilihat semakin baik dan di dalam dalam saingan Piala Malaysia, mereka berjaya mengalahkann Selangor FC di suku akhir yang juga antara pasukan terbaik di Liga Super musim ini.

Paulo turut berkata, pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia pasti akan menarik kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing.

"Pertemuan dua pasukan ini pasti akan berlangsung dengan sengit dan saya tidak rasa akan berlaku kemenangan mudah seperti 3-0 atau 2-0. Saya juga tidak rasa akan dapat ulangi keputusan sama 3-3 dalam perlawanan kedua liga sebelum.

"Mereka (TFC) mempunyai barisan pertahanan yang kuat dan pemain sayap yang boleh memberi ancaman kepada kami serta pemain tengah bagus dalam mengawal permainan.

"Kami mempunyai sistem pertahanan yang bagus dan di kawal oleh dua pemain tengah yang keras. Sebab itu kami pasukan yang kuat.

"Kami sudah berusaha sebaik mungkin dan jurulatih merancang permainan dengan baik. Kami akan hadapi cabaran ini dan akan mendapatkan keputusan yang baik di perlawanan pertama separuh akhir ini," katanya.

Tambah Paulo, bermain di halaman sendiri memberi kelebihan buat pasukan itu dan berharap KL City boleh mencari bekalan selesa sebelum berkunjung ke tempat lawan yang akan dibantu dengan kehadiran puluhan ribu penyokong lawan.

"Sekiranya kami ketinggalan dalam perlawanan di Cheras, kami bersemangat ke Terengganu untuk mendapat kembali keputusan positif.

"Tetapi saya berharap kami menang di sini dan akan seri di tempat lawan sekali gus ke final seperti tahun sebelum ini,"katanya.

Pemain tengah KL City itu berharap penyokong akan hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan dan pemain untuk berjuang mendapatkan keputusan positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 12:59 PM