KAPTEN KL City, Paulo Josue (kiri) berebut bola dengan pemain PDRM pada perlawanan malam tadi. FOTO FB MFL
KAPTEN KL City, Paulo Josue (kiri) berebut bola dengan pemain PDRM pada perlawanan malam tadi. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) melaungkan amaran mereka tidak akan memberi laluan mudah buat Terengganu FC (TFC) pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini.

Laungan itu diluahkan pengendali KL City, Bojak Hodak yang mengakui akan memberi tentangan sengit kepada TFC.

Jelasnya, beliau mengakui skuad kendalian Nafuzi Zain adalah antara dua pasukan terbaik di Liga Malaysia ketika ini selepas Johor Darul Ta'zim (JDT).

Namun, katanya, itu tidak bermakna anak buahnya mengibar bendera putih lebih awal, ketika beliau percaya peluang kedua-dua pasukan tetap seimbang.

"TFC dan JDT adalah dua pasukan terbaik dalam negara ini waktu ini dan ia akan jadi perlawanan yang sukar, tapi kita akan beri tentangan sengit," katanya sejurus tamat aksi pusingan 16 yang menyaksikan KL City menang 4-0 secara agregat ke atas PDRM FC.

Dalam aksi timbal balik kedua itu skuad The City Boys menang 1-0, sekali gus mencatat kemenangan besar secara agregat 4-0 selepas menang 3-0 minggu lalu.

Mengulas mengenai aksi itu, Hodak menjelaskan PDRM bermain lebih berdisiplin dengan menggunakan pendekatan 'parking bas'.

"Pemain PDRM 'parking bas' di bawah dan mereka bertahan. Separuh masa pertama, kami mula dengan sedikit kesilapan taktikal, tetapi apabila babak kedua bermula, kami mendominasi permainan dan cipta banyak peluang.

"Tapi akhirnya kami dapat menjaringkan satu gol dan sepatutnya mungkin lebih. Ini masalah kita (ketumpulan di jentera depan) sejak dua musim lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 6:50 PM