MOHD Sabri Abas (kiri) dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mulai hari ini. FOTO GHAZALI KORI
MOHD Sabri Abas (kiri) dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mulai hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang baharu sah menjadi milik Mohd Sabri Abas yang dilantik mulai hari ini.

Bekas Ketua Pegawai Operasi TFC itu dinaikkan pangkat selepas kerusi itu dikosongkan bekas penyandangnya, Ab Rasid Jusoh yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) berkuat kuasa mulai 1 Oktober lalu.

Menerusi kenyataan rasmi kelab berkenaan pada hari ini, keputusan pelantikan itu dibuat secara rasmi dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd petang semalam.

"Kami daripada seluruh keluarga besar Terengganu Football Club ingin mengucapkan tahniah buat Mohd Sabri atas pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) yang baharu.

"Keputusan pelantikan itu dibuat secara rasmi dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd kali ke-3 2023 pada petang semalam yang telah dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

"Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd adalah antara individu yang banyak menyumbang dalam perkembangan kelab ini sejak berkhidmat bermula bermula 2020.

"Dengan mengambil kira dalam pelbagai aspek pengurusan khususnya, Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd melihat kredibiliti serta pengalaman yang dimiliki oleh beliau menjadikannya sebagai calon terbaik untuk meneraju TFC Sdn Bhd yang baharu," demikian reaksi kenyataan berkenaan.

Terdahulu jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang sebelum ini disandang Menteri Besar Terengganu juga bertukar tangan selepas Hishamuddin dilantik mengetuai badan induk bola sepak negeri Terengganu bermula semalam.

"Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Kali 1/2023 di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu telah mengesahkan pelantikan Hishamuddin Abdul Karim sebagai Presiden PBSNT berkuatkuasa 8 Oktober 2023 dengan merujuk kepada Statut PBSNT iaitu memberi kuasa kepada Menteri Besar memilih presiden PBSNT," demikian kenyataan rasmi kelab berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 8:19 PM