BOZIK (dua kanan) pada sidang media hari ini. FOTO SABAH FC
BOZIK (dua kanan) pada sidang media hari ini. FOTO SABAH FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sabah FC tampak bersedia mengharungi kempen Piala AFC yang akan memulakan saingan hujung bulan ini apabila mengadakan aksi persahabatan antarabangsa dengan pasukan kebangsaan Brunei di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Bagawan, malam esok.

Menurut penolong jurulatih Sabah FC, Rastislav Bozik, aksi terbabit bakal dijadikan perlawanan pemanas badan bagi menyediakan pasukan sebelum menghadapi kempen Piala AFC nanti.

Malah, aksi berkenaan penting untuk mengekalkan kecergasan dan momentum pemain selepas saingan Liga Malaysia dihentikan seketika bagi memberi laluan untuk aksi antarabangsa babitkan skuad kebangsaan.

"Perlawanan persahabatan ini datang pada masa yang tepat. Beberapa pemain kami berada bersama pasukan kebangsaan, dan ia memberi peluang kepada yang lain untuk menyinar.

"Perlawanan ini penting babitkan dua pasukan di kepulawan Borneo. Kami sedang bersiap sedia untuk Piala AFC, dan aksi ini akan membantu kami bersiap sedia," katanya pada sidang media praperlawanan di Bandar Seri Bagawan, di Brunei hari ini.

Pada saingan Piala AFC, skuad Badak diletakkan dalam Kumpulan H bersama kelab Singapura, Hougang United; pasukan Indonesia, PSM Makassar dan kelab Hai Pong dari Vietnam.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu dijadual menentang Hougang United di Stadium Likas pada 21 September ini bagi memulakan saingan kedua tertinggi kelab-kelab Asia itu.

Sementara itu, pengendali Brunei, Mario Rivera menganggap Sabah bakal memberi cabaran sukar kepada pemainnya memandangkan kelab itu beraksi baik dalam Liga Super.

"Ini adalah perlawanan yang sukar bagi kami. Sabah FC bermain di liga utama Malaysia dan berada di kelompok teratas, menjadikan mereka lawan yang kuat.

"Ia adalah persediaan yang sangat baik untuk kami, dan kami berharap ramai peminat akan datang menonton perlawanan pertama kami tahun ini," kata Rivera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 4:31 PM