KAMIL Akmal (kiri) kini fokus mengembalikan tahap terbaiknya di barisan benteng Kedan untuk menghadapi Piala Cabaran 2023. FOTO Ihsan KDA FC
KAMIL Akmal (kiri) kini fokus mengembalikan tahap terbaiknya di barisan benteng Kedan untuk menghadapi Piala Cabaran 2023. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Pertahanan kanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kamil Akmal Abd Halim bertekad mencapai kembali tahap terbaiknya bersama Sang Kenari bagi menghadapi aksi Piala Cabaran dan baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemain kental kelahiran Jitra berusia 24 tahun yang terpaksa berehat akibat kecederaan paha yang dialaminya hampir dua bulan.

Ia menyebabkan dia terlepas peluang beraksi yang menjadi percaturan penting ketua jurulatih Nafuzi Zain sebelum ini.

"Sebaik pulih dari kecederaan paha yang saya alami sebelum ini, saya terus memasang tekad untuk mendapatkan kembali rentak permainan terbaik yang pernah capai sebelum ini.

"Impian saya kini adalah bersedia kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan dan untuk mencapai tahap itu saya perlu tingkatkan lagi tahap permainan saya.

"Saya anggap aksi dan rentak permainan yang cukup laju ketika kami menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari itu adalah salah satu permulaan yang baik bagi kembali mendapat momentum permainan," katanya.

Kamil Akmal yang diturunkan sebagai pemain gantian di babak kedua pada aksi menentang JDT 26 Ogos lalu juga berharap peningkatan aksi yang dicapainya kini mampu melonjakkan dirinya.

Dia mahu membantu pasukan yang akan memberi saingan dalam saingan Piala Cabaran bermula pada 19 September ini menentang Kuching City FC.

"Untuk aksi Piala Cabaran ini saya anggap ia satu peluang baharu yang perlu kami manfaatkan bagi memburu piala pada musim ini kerana kami sudah terlepas aksi Piala Malaysia.

"Tempoh rehat Liga M yang berlangsung buat masa ini adalah ruang terbaik untuk saya terus memperkemaskan tahap permainan melalui panduan yang diberikan barisan kejurulatihan.

"Kami mahu buktikan kepada penyokong bahawa pasukan Kedah tetap memiliki tahap terbaiknya pada saingan musim ini dan pastinya kami mahu tampil dengan aksi yang diharapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 3:40 PM