PEGUAMBELA, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar dan Ainur Rabiatuadawiyah Hassim bersama mangsa tipu kes pelaburan yang dikaitkan dengan Zamsaham pada sidang media di Pejabat guaman Akmal Shamsul Kahar & Co, Binjai 8 Premium Soho. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PEGUAMBELA, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar dan Ainur Rabiatuadawiyah Hassim bersama mangsa tipu kes pelaburan yang dikaitkan dengan Zamsaham pada sidang media di Pejabat guaman Akmal Shamsul Kahar & Co, Binjai 8 Premium Soho. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Raja Noraina Raja Rahim dan Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Saya nak duit saya balik. Saya rasa bukan saya seorang sahaja, saya rasa semua (pelabur) nakkan duit mereka balik".

Itu desakan salah seorang pelabur yang mahu dikenali dengan panggilan Am apabila mengakui melabur sehingga RM100,000 ke atas syarikat The Red Warriors FC (TRW FC) Berhad pada tahun 2020 lalu.

Katanya, selepas tiga tahun berlalu, dia sehingga kini langsung tidak pernah merasai pulangan daripada pelaburan yang dilakukan pemilik kelab TRW iaitu Norizam Tukiman.

Jelasnya lagi, lebih menghairankan Norizam langsung tidak pernah mengadakan pembentangan kewangan bagi menjelaskan proses perjalanan dana yang dilaburkan kepada dirinya dan pelabur yang lain.

"Saya sudah melabur di Syarikat Zamsaham untuk TRW pada 2020 sebanyak RM100,000 untuk ke saham bursa diapungkan ke IPO TRW Berhad.

"Sejak 2020 hingga sekarang tiada apa-apa pulangan dan tiada laporan audit dibentangkan, cuma ada satu awal tahun ini pasal satu kes itu, tapi sebenarnya bukan AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) tapi lebih kepada perbincangan kedai kopi mengenai TRW, itu saja.

"Saya rasa ramai pelabur-pelabur masih tertanya-tanya dan terkapai-kapai, tak ada apapun perkembangan semasa, sekadar bagi tahu jurulatih ini masuk, jurulatih itu keluar dan pemain ini masuk, dan keluar. Tak ada apa-apa penjelasan mengenai pelaburan," katanya ketika ditemui pada sidang media bersama peguam di sini, hari ini.

Ditanya berapakah pulangan yang dijanjikan, Am mengakui dijanjikan keuntungan sehingga RM1 juta jika ia disenaraikan di syarikat senarai awam (IPO).

"Untuk keuntungan dia ada lejer berapa tahun berapa tahun. Saya masuk antara terawal dengan masuk RM100,000 dan dijanjikan ROI lebih kurang RM1 juta bila ia diapungkan di bursa saham, tapi kita tak nampak ke arah sana.

"Perjalanan duit tak nampak. kita pernah tanya AGM dan bila laporan audit akan dibentangkan, tapi kita hanya diberikan tarikh, dan diberikan tarikh hinggalah sekarang," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang mahu dikenali Zul mengakui sudah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut Zul, emosinya terganggu dan mengalami tekanan hidup selepas 'hilang' hampir RM100,000 di mana sehingga kini tidak mengetahui ke mana perginya duitnya itu.

"Saya dah buat laporan dan saya hanya mahu duit dikembalikan. Saya labur bawah RM100,000 dan duit itu bukan sikit tapi banyak.

"Saya alami tekanan emosi dan psikologi yang cukup mendalam. Saya terpaksa mencari duit untuk melabur dalam TRW tapi semuanya hilang kerana tak tahu ke mana ia dibelanjakan dan ROI yang masih belum dapat," kata Zul.

Norizam sebelum ini membeli TRW daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan harga RM6.8 juta pada tahun 2020.

Ketika ini, Kelantan FC bersaing di Liga Super dan menghuni tangga tercorot disamping berdepan pelbagai isu dalaman seperti tunggakan gaji.

Sementara itu, Norizam ketika dihubungi menafikan pihaknya langsung tidak mengadakan AGM seperti yang didakwa sebahagian pelabur dalam syarikat TRW FC Berhad.

Katanya, pihaknya pernah mengadakan AGM pada 2019, 2020 dan 2021 sekali gus menganggap dakwaan berkenaan tidak benar.

Bagi AGM bagi tahun 2022 pula, pihaknya sudah membuat permohonan EOT (Extension Of Time) kepada SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) untuk pembentangan penyata kewangan berakhir di buat kepada bulan Disember daripada biasanya diadakan pada bulan Mei setiap tahun.

"Kita ada buat AGM setiap tahun 2019, 2020 dan 2021...2021 kita buat pada 29 September. Cuma yang tak tahun lepas 2022.

"Kita tak buat kerana dah minta SSM untuk EOT di mana dah dibenarkan dan diluluskan oleh SSM. Kita menukar kewangan tahun berakhir daripada Mei kepada Disember," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 3:54 PM