TRW FC. FOTO TRW Kelantan FC
TRW FC. FOTO TRW Kelantan FC
Raja Noraina Raja Rahim dan Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menafikan pihaknya langsung tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) seperti yang didakwa sebahagian pelabur dalam syarikat The Red Warriors FC (TRW FC) Berhad.

Arena Metro yang berjaya menghubungi Norizam menegaskan, pihaknya pernah mengadakan AGM pada 2019, 2020 dan 2021 sekali gus menganggap dakwaan berkenaan tidak benar.

Katanya, bagi AGM bagi tahun 2022 pula, pihaknya sudah membuat permohonan EOT (Extension Of Time) kepada SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) untuk pembentangan penyata kewangan berakhir di buat kepada bulan Disember daripada biasanya diadakan pada bulan Mei setiap tahun.

"Kita ada buat AGM setiap tahun 2019, 2020 dan 2021...2021 kita buat pada 29 September. Cuma yang tak tahun lepas 2022.

"Kita tak buat kerana dah minta SSM untuk EOT di mana dah dibenarkan dan diluluskan oleh SSM. Kita menukar kewangan tahun berakhir daripada Mei kepada Disember.

"Proses itu mengambil masa sedikit, sebab itu lambat. Kalau kata tak pernah buat itu tipu, tahun 2022 tak buat sebab pertukaran daripada Mei kepada Disember," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu satu sidang media bersama sebahagian pelabur dalam syarikat milik Norizam diadakan yang turut disertai peguam yang mewakili pelabur bagi mengheret usahawan itu ke muka pengadilan.

Pelabur berkenaan mendakwa menjadi mangsa 'penipuan' pelaburan yang diusahakan Norizam, termasuk syarikat TRW FC Berhad.

Ujar Norizam lagi, satu notis panggilan AGM akan diserahkan pada 21 hari sebelum mesyuarat diadakan nanti.

"Untuk makluman, kita akan hantar notis kepada semua pelabur, sebenarnya kalau ikut amalan panggilan AGM mestilah diserahkan 21 hari sebelum tarikh AGM.

"Takkan saya nak hantar notis panggilan bulan Mac pula, atau bulan April atau Mei, sedangkan AGM lambat lagi. Nanti kita akan beri notis dan harap bersabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 5:06 PM