CIAPAN Fifa di twitter. -FOTO Twitter
CIAPAN Fifa di twitter. -FOTO Twitter
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Gol cantik yang dijaringkan tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid baru-baru ini terus 'mendonia' apabila menjadi pilihan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebagai antara gol tercantik sepanjang Jun lalu.

Safawi yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) antara penyumbang gol buat pasukan Harimau Malaya untuk memastikan skuad kebangsaan mengesahkan kemenangan 4-0 bertemu kepulauan Solomon baru-baru ini.

Pemain berusia 26 tahun itu masuk sebagai pemain gantian memainkan peranan yang cukup penting untuk menambah gol skuad Harimau Malaya.

Gerakan cantik yang dipamerkan pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu berjaya menambat hati Fifa dalam satu ciapan di twitter sebagai jaringan pilihan untuk bulan lalu.

Berdasarkan kepada situasi berkenaan, jaringan terbabit adalah petanda positif untuk dipilih sebagai calon terbaik bagi mengikuti pemenang Puskas 2016 Faiz Subri.

Jaringan ajaib berpunca daripada sepakan percuma yang melencong seperti 'banana kick' disifatkan 'melanggar hukum fizik' itu membolehkan penyerang Faiz meraih anugerah jaringan terbaik pada Malam Anugerah Fifa di Zurich, Switzerland.

Terdahulu, jaringan Safawi untuk gol ketiga negara ketika berdepan Kepulauan Solomon menarik perhatian komuniti bola sepak dunia.

Hal ini, selepas laman sesawang terkenal bola sepak antarabangsa, B/R Football 'berminat' dengan Safawi dan menciap mengenai gol terbabit menerusi akaun Twitternya.

Menerusi akaun Twitternya, B/R Football menyertakan klip video terbabit sambil menciap 'menambah pemain Malaysia, Safawi Rasid dalam senarai Puskas.'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 11:58 AM